mk-logo
Berita
Walau digantung Bersatu, MP Mersing tetap bantu kempen - calon PN

PRN JOHOR | Kemelut politik dalaman bersama Bersatu tidak menghalang Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas untuk turun membantu kempen PN di DUN Tenggaroh dan Endau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kehadiran Islahuddin yang digantung keahliannya oleh Bersatu, dilihat memberi suntikan kepada jentera PN di Mersing ketika gabungan itu berusaha mencabar penguasaan tradisi BN di kawasan berkenaan.

Calon PN bagi DUN Tenggaroh, Muhamad Amerul Muhamad berkata sokongan Islahuddin amat penting dalam usaha gabungan itu menembusi kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat BN.

Bercakap kepada Malaysiakini, Amerul berkata status Islahuddin dalam Bersatu tidak menjejaskan komitmennya di peringkat akar umbi.

Gambar fail, Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.

"Sejurus habis sidang Parlimen, Islahuddin akan terus bergegas pulang ke Mersing di mana pada sebelah pagi beliau akan bersama-sama berkempen di Tenggaroh manakala sebelah petang pula bergerak membantu calon di DUN Endau.

"Komitmen padu ini turut diperkukuhkan lagi dengan sokongan jentera PAS sepanjang siri kempen ini," katanya.

Pada 11 Mei lalu, Lembaga Disiplin Bersatu secara rasmi menggantung keahlian Islahuddin selama dua penggal pemilihan parti.

Amerul, yang juga Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, berdepan saingan Md Yusof Dawam daripada PH-PKR dan Ketua Bahagian Umno Mersing, Mohd Youzaimi Yusof, yang mewakili BN.

Pertarungan di Tenggaroh kali ini dilihat lebih menarik selepas Umno bertanding di kerusi itu buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

DUN Tenggaroh mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 83.4 peratus, diikuti pengundi Cina 12.8 peratus, India 1.4 peratus dan lain-lain dua peratus.

Kerusi itu sebelum ini menjadi kubu tradisi BN yang diperuntukkan kepada MIC sejak 1986, sebelum bertukar kepada Umno pada pilihan raya kali ini.

Amerul melihat perubahan itu sebagai peluang besar untuk PN, khususnya selepas jurang sokongan antara BN dan PN semakin merapat dalam dua siri pilihan raya lalu.

Kelebihan BN jika peratus keluar undi rendah

Anak tempatan Felda Tenggaroh itu berkata status kawasan Felda sebagai kubu tetap BN juga tidak lagi boleh dianggap mutlak, susulan perubahan sokongan dalam kalangan pengundi muda.

Bagaimanapun, dia mengakui peratusan keluar mengundi akan menjadi faktor penentu sama ada PN mampu merampas kerusi berkenaan atau sebaliknya.

"Jika keluar mengundi berada di sekitar 60 peratus, saya melihat peluang untuk PN menang adalah cerah.

"Namun, jika peratusan keluar mengundi adalah rendah, ia memberi kelebihan kepada BN kerana hanya pengundi tradisi mereka yang akan keluar mengundi, sama seperti senario pasca-Covid-19 lalu," katanya.

Amerul turut berkata naratif bahawa anak muda Felda berhijrah ke bandar besar kini mula berubah apabila ramai generasi kedua pulang menetap di Tenggaroh untuk menjaga ibu bapa yang uzur.

Menurutnya, perkembangan itu boleh membawa pulang undi penentu kepada PN.

"Banyak saya dah membuat ziarah kat sini, ramai anak-anak kembali pulang ke Tenggaroh.

"Bukan kerana dia orang ini tidak ada peluang pekerjaan di bandar. Tapi kerana faktor kesihatan mak ayah dia orang. Ada beberapa tempat yang saya ziarah kerja kat Kuala Lumpur, tapi akhirnya balik sebab tidak ada orang nak jaga mak ayah. Jadi, mereka ni membawa pulang undi.

"Kemudian, penggundi luar yang berada di luar yang nak balik. Dan sekarang dia tengah menilai parti mana yang sesuai untuk diundi," katanya

Pada PRN Johor Mac 2022, calon BN daripada MIC, K Raven Kuma, memenangi kerusi Tenggaroh dengan meraih 49.16 peratus undi.

Calon PN-PAS ketika itu, Roslan Nikmat, memberi tentangan sengit apabila memperoleh 42.8 peratus undi.

Kemenangan BN dengan majoriti 1,356 undi ketika itu turut dipengaruhi peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu sekitar 57.2 peratus.

Namun, pada PRU15 undi popular BN melalui Umno merosot kepada 45.86 peratus.

Bersatu yang mewakili PN pula terus merapatkan jurang apabila meraih 39.89 peratus undi, sekali gus menunjukkan sokongan terhadap gabungan itu semakin menembusi kubu kuat BN di kawasan Felda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS