mk-logo
Berita
Anwar turun kempen calon PH esok, Ahad
Diterbitkan:  Jul 3, 2026 10:46 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jadual yang padat sepanjang dua hari berada di Johor bermula esok dan Ahad bagi memberikan dukungan kepada 56 calon serta jentera gabungan parti politik itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Perkara itu dimaklumkan Anwar yang juga Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, sambil mengajak warga Johor untuk turut serta dalam program-program yang diatur sepanjang dua hari berkenaan.

“Insya-Allah, esok dan Ahad akan berada di Johor bagi memberikan dukungan buat calon-calon serta jentera HARAPAN.

“Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga ikhtiar ini dipermudah dan diberkati,” menurut hantaran itu.

Berdasarkan jadual yang dikongsikan, Anwar akan memulakan siri program di Johor esok dengan Program Kita Genk MADANI x Anak Muda Bukit Batu di Kulai pada 3.30 petang.

Beliau kemudian dijadual menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Pimpinan Masyarakat Johor di Johor Bahru pada 4.50 petang, sebelum ke program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) di Tampoi pada 6 petang.

Pada sebelah malam, Anwar dijadual menghadiri Malam Kebudayaan India Harapan Bersama PMX di Taman Tampoi Indah pada 7.45 malam dan Majlis Makan Malam Komuniti Cina Bersama PMX di sebuah restoran pada 8.35 malam.

Beliau turut dijadual menghadiri Dialog Belia Johor di Dewan Felda Ulu Tebrau pada 9.30 malam dan Malam Anak Muda Kempas di Kempas pada 10.45 malam.

Pada Ahad pula, beliau dijadual memulakan program dengan santai sarapan bersama masyarakat DUN Layang-Layang di Warung Pak Din, Kampung Sahri, di Simpang Renggam pada 8.55 pagi, diikuti Majlis Ramah Mesra Bersama PMX Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di Senggarang, Batu Pahat pada 10 pagi.

Anwar turut dijadual menghadiri Kenduri Rakyat Bersama PMX di Semerah, Batu Pahat pada 11 pagi dan program Temu Anwar serta Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning, Muar pada 12.15 tengah hari.

Pada sebelah petang dan malam Ahad, beliau dijadual menghadiri Jelajah Harapan Felda Bersama PMX di Dataran Putra Palong Timur 2, sesi ramah mesra di DUN Pemanis, Segamat dan DUN Gambir, sebelum menutup siri program dengan Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati, Tangkak pada 9 malam.

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS