Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang dilancarkan semalam mampu menjadi pelan kerja awal untuk membawa Johor ke arah ekonomi lebih kukuh, kebajikan lebih menyeluruh dan masa depan lebih terjamin kepada rakyat.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata manifesto bertemakan "Johor Untuk Semua" itu, menawarkan hala tuju baharu dengan menumpukan kepada pembinaan kekuatan ekonomi negeri, penyediaan pekerjaan bergaji tinggi serta perluasan perumahan mampu milik.
Beliau berkata manifesto itu juga dilihat memberikan penekanan kepada usaha memperkukuh kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan lebih seimbang antara daerah di Johor.
“Kekuatan utama manifesto PH ialah sifatnya yang berangka dan boleh dinilai. Pengundi tidak hanya diberikan slogan umum seperti ‘kemajuan’, ‘kebajikan’ atau ‘kestabilan’, tetapi sasaran yang jelas seperti 500,000 penerima perlindungan kesihatan dan 80,000 rumah mampu milik.
“Ini penting kerana manifesto yang baik mesti membolehkan rakyat menilai pencapaian kerajaan selepas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Mashitah berkata jika dibandingkan dengan manifesto Barisan Nasional (BN), perbezaan utama antara kedua-duanya terletak pada pendekatan yang dibawa kepada pengundi Johor.
Beliau berkata BN menampilkan manifesto berteraskan kesinambungan pentadbiran melalui enam teras Maju Johor, dengan penekanan kepada tadbir urus, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas, keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Antara tawaran BN termasuk Bantuan Kasih Johor, peluang pekerjaan, dana rumah, bantuan sewa, pembiayaan mikro tanpa faedah, Dana Pendidikan Orang Muda Johor serta pelbagai inisiatif kemudahan awam.
“Manifesto BN mempunyai kekuatan dari segi kesinambungan program sedia ada. Namun, manifesto PH lebih menonjol dari sudut pembaharuan dasar dan sasaran transformasi ekonomi.
“Jika BN menawarkan kesinambungan pentadbiran, PH pula menawarkan pembaharuan yang lebih terarah kepada isu struktur Johor seperti pekerjaan bergaji tinggi, kos rumah, kesesakan sempadan, pembangunan daerah dan kebergantungan ekonomi kepada Singapura,” katanya.
Mengulas lanjut, Mashitah berkata dalam isu pekerjaan, BN menawarkan 200,000 peluang pekerjaan termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan premium, manakala PH menawarkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah.

Beliau berkata tawaran PH itu dilihat lebih berkait langsung dengan perubahan struktur ekonomi Johor kerana ia menumpukan kepada bidang seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, logistik pintar, teknologi hijau dan industri bernilai tinggi.
“Ini bukan sekadar menambah pekerjaan, tetapi cuba mengubah jenis pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat Johor,” katanya.
Mashitah berkata dengan mandat kerajaan negeri, PH boleh menyelaraskan dasar tanah, perumahan, pihak berkuasa tempatan, pelesenan, pembangunan daerah, infrastruktur tempatan dan program kebajikan negeri bagi melaksanakan tawaran manifesto itu.
Dalam pada itu beliau berkata kedudukan PH yang bergerak seiring dengan kerajaan Persekutuan boleh mempercepat rundingan, kelulusan, pembiayaan bersama dan pelaksanaan projek rentas agensi.
Ini termasuk usaha mengurangkan masa menunggu rentas sempadan sebanyak 50 peratus yang memerlukan penyelarasan kerajaan negeri, agensi Persekutuan, imigresen, pengangkutan awam, RTS, bas pengantara dan teknologi semakan sempadan.
- Bernama
