story images
story images
mk-logo
Berita
Isu remaja hamil luar nikah perlu perhatian serius - Nancy

Isu remaja hamil luar nikah memerlukan perhatian serius kerana implikasinya terhadap masa depan remaja, institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 21,114 remaja berusia bawah 19 tahun hamil dan tidak berkahwin direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2024.

“Di Sarawak, Jabatan Kesihatan negeri merekodkan 1,271 kes pada 2024 berbanding 1,242 kes pada 2025. Walaupun menunjukkan sedikit penurunan, angka ini masih memerlukan perhatian serius.

“Justeru, usaha pencegahan, pendidikan dan intervensi awal perlu terus diperkukuh dengan sokongan semua pihak,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program PEKERTI Negara Peringkat Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Nancy berkata pada hari ini, ancaman terhadap remaja tidak lagi terhad kepada persekitaran fizikal.

Beliau berkata dunia digital telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk risiko baharu termasuk buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual dan pengantunan seksual atau sexual grooming yang semakin membimbangkan.

“Ibu bapa benteng pertama melindungi anak daripada pelbagai pengaruh negatif. Saya menyeru semua ibu bapa agar meluangkan masa dengan anak, memahami dunia digital mereka dan memantau penggunaan teknologi secara berhemah.

“Hubungan erat dalam keluarga akan membantu anak membuat pilihan yang betul dan mengelakkan mereka daripada pengaruh negatif,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS