story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Puad naik pentas ceramah Anwar, sokong calon PH-Maszlee
1

PRN JOHOR | Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menyertai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kempen untuk calon Pakatan Harapan Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Bercakap pada program ceramah di Felda Ulu Tiram malam tadi, Puad berkata kemunculannya di pentas PH dibuat sebagai sokongan peribadi, bukan penjajaran semula politik.

“Saya datang sebagai sahabat lama.

“Saya naik ke pentas Pakatan Harapan kerana PH adalah kerajaan perpaduan dan BN pun adalah kerajaan perpaduan. Jadi tidak ada salahnya saya naik ke pentas ini.

“Apa lagi saya bukan lagi ahli Umno,” kata Puad, sambil menambah dia bersetuju hadir ke “dialog anak muda” itu selepas dipujuk Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin dan selepas bercakap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya datang ini kerana sokongan peribadi saya kepada Datuk Dr Maszlee Calon No 3,” tegasnya.

Mengakui tindakannya itu akan mengundang kecaman, Puad berkata dia sudah pun menerima kritikan selepas memuat naik infografik lebih awal semalam bagi menyatakan sokongan kepada calon PH di Rengit.

“Saya tahu selepas saya turun pentas ini ramai orang akan menghentam saya, menghina saya, mencerca saya, tapi ini biasa.

“Sebab... apabila saya buat posting infografik saya menyokong calon PH di Rengit, maka saya bertalu-talu menerima kecaman. Kerana mengkhianati perjuangan Umno,” katanya.

“Tetapi pada saya apa yang lebih penting sekarang ini adalah saya akan meneruskan keberanian politik ini supaya politik yang lebih seimbang dan bebas di Johor ini dapat kita perjuangkan,” katanya lagi.

Ditemui pemberita kemudian, Puad yang pernah mempengerusikan Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 sebagai speaker, mengulangi pendirian bahawa “orang seperti Maszlee” perlu berada dalam dewan undangan negeri kerana Johor perlukan buah fikir dan pemikirannya.

Puad turut menolak spekulasi dia akan menyertai PKR atau mana-mana parti politik lain selepas keluar daripada Umno.

“Tidak. Sekarang ini saya ada misi khas yang perlu saya fokus.

“Saya dah sebut tadi tentang politik yang lebih seimbang dan bebas. Jadi itulah pendirian saya.

“Saya boleh memberikan teguran dan pandangan daripada hati nurani untuk bercakap apa sahaja dan saya tidak terikat. Saya rasa itu lebih baik setakat ini untuk saya,” katanya.

Laporan polis, telefon dirampas

Ketika mengumumkan peletakan jawatan serta-merta daripada Umno bulan lalu, Puad mencetuskan lebih 150 laporan polis daripada bahagian Umno selepas dia mendakwa wujud “campur tangan istana” dalam keputusan berkaitan senarai calon pilihan raya Umno Johor.

Mengulas laporan polis terhadapnya, Puad malam tadi berkata dia sudah mendapatkan semula telefon bimbitnya selepas ia dirampas dan bersedia menghadapi sebarang tindakan lanjut.

“Telefon saya dirampas. Tapi baru (kelmarin Jumaat 3 Julai) saya dapat balik. Perkara seperti ini adalah perkara yang saya dah cukup bersedia.

“Sebab itu saya menggunakan istilah baharu iaitu keberanian politik,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, Ketua Polis Johor Ad Rahaman Arsad dilaporkan berkata Puad disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh menyebabkan khianat awam; Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS