Meski tidak menyertai pilihan raya negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung, para pemimpin dan penyokong gerakan "Reset Malaysia" yang dikaitkan dengan komponen terbaru Perikatan Nasional, Parti Cinta Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan ), berkumpul di Johor Bahru malam tadi dengan impian yang lebih besar untuk menawan Putrajaya.
Setiausaha Agung Reset Malaysia, Saifuddin Abdullah yang tampil sebagai penceramah terakhir, memulakan ucapannya dengan pesanan daripada Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin yang tidak hadir atas sebab-sebab kesihatan.
“Pertamanya saya sampaikan salam dari pengasas kita, Hamzah Zainudin. Beliau berkirim salam, beliau sangat nak datang, tapi apakan daya sebagai manusia biasa, ada pasang surut. Sehari dua ni beliau dinasihatkan berehat.
“Kita sama-sama doakan beliau Insya-Allah sihat seperti biasa dan terus memimpin kita Insya-Allah ke Putrajaya," kata Saifuddin kepada kira-kira 300 penyokong yang berkumpul di Pusat Konvensyen Danga Bay.
Kebanyakan hadirin berpakaian warna putih, merah dan biru yang bertepatan logo Wawasan Negara, yang juga sepadan dengan bendera Johor.
Dalam ucapannya, Saifuddin mengingatkan bahawa walaupun Wawasan Negara tidak bertanding dalam PRN Johor, penyokong di negeri ini masih boleh mempengaruhi keputusan melalui undi mereka.

"Gunakanlah kompas moral ‘amal makruf nahi mungkar’, tengoklah siapa di kalangan calon itu, parti mana yang selari dengan amal makruf nahi mungkar, pilihlah calon bersesuaian,” kata bekas ahli majlis tertinggi Bersatu itu.
"InsyaAllah diizinkan Tuhan, di Johor akan mendapat keputusan yang terbaik selepas itu ke Negeri Sembilan, Melaka, selepas itu ke Putrajaya,” kata Saifuddin dalam mengakhiri ucapannya.
Para pemimpin di pentas utama terdiri daripada penyelaras Reset Johor Zulkifli Bujang, sebagai tuan rumah perhimpunan, bersama Rahim Tamby Chik, Yong Kim Soon, Omar Mustapha Ong dan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Turut kelihatan di barisan hadapan ialah beberapa bekas Ahli Parlimen Bersatu - Ikmal Hisyam Abdul Aziz (Tanah Merah), Islahuddin Abas (Mersing), Fathul Huzir Ayub (Gerik) - serta Presiden Perkasa Syed Hasan Syed Ali.

Selain Saifuddin, pemimpin lain yang merujuk kepada cita-cita Wawasan Negara untuk menawan Putrajaya termasuk Wan Ahmad Fayhsal yang berikrar bahawa semua Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah sebagai ketua pembangkang parlimen akan terus bersuara menentang kerajaan.
“Jika semua orang di sini mahu melihat kita menuju ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-16, pastikan gelombang bermula di sini di Johor minggu ini,” kata Ahli Parlimen Machang itu disambut sorakan daripada hadirin.
Ditemui pemberita kemudian, Saifuddin menghuraikan pesanannya kepada pengundi Johor, “Kami tidak menyatakan parti mana yang harus disokong. Yang pasti bukan Pakatan Harapan.”
“Isunya adalah tentang memastikan tadbir urus negeri yang baik.
“Jika sudah ada pentadbiran negeri yang baik, dan Bangsa Johor percaya ia harus diteruskan, maka itulah pilihan rakyat Johor,” kata Saifuddin.

“Paling penting, tolak PH. Itu nombor satu,” tegasnya.
Hamzah pada 25 Jun mengumumkan bahawa Wawasan Negara tidak akan bertanding dalam PRN Johor pada 11 Julai dan sebaliknya akan menumpukan pada PRN Negeri Sembilan.
Hamzah juga menyatakan bahawa keutamaan Wawasan Negara adalah untuk bertindak sebagai jambatan penyatuan dalam Perikatan Nasional, di tengah-tengah hubungan yang tegang antara Bersatu dan PAS.
