mk-logo
Berita
PAS lebih minat pastikan kemenangan BN berbanding PN, kata Amanah

PRN JOHOR | Langkah PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon BN termasuk dalam kalangan wakil MIC dan MCA menunjukkan betapa kelirunya parti tersebut, kata Mujahid Yusof.

Menurut Timbalan Presiden Amanah itu percaturan PAS dalam PRN kali ini juga menunjukkan mereka sanggup mengetepikan prinsip yang sebelum ini pernah dipertahankan.

Pada masa sama, tambah Mujahid, PAS sanggup mengabaikan parti lain yang sama-sama bernaung dalam PN seperti Bersatu.

"PAS menghantar mesej yang sangat mengelirukan.

"Dia bertanding melawan BN (sebanyak 11 kerusi) di tempat lain, tetapi di sini dia suruh ahli PAS sokong BN pula.

"Tindakan PAS itu satu mesej yang sangat mengelirukan pengundi serta mengetepikan prinsip perjuangan semata-mata untuk memastikan kemaraan PH disekat," katanya kepada Malaysiakini di Ledang, Johor semalam.

PAS disebut-sebut cuba mencapai kompromi dengan BN tidak lama selepas DUN Johor dibubarkan. Antara lain PAS menawarkan gagasan Muafakat Nasional 2.0 untuk mendepani PRN yang ke-16.

Bagaimanapun ia gagal mendapat respon yang sepatutnya sehingga ia diabaikan setakat ini.

Pun begitu PAS - yang kini menguasai PN - mengambil langkah lain apabila meletakkan hanya 11 calon bertanding dalam PRN kali ini di sebalik DUN Johor mempunyai 56 kerusi.

Tolak kerana tiada pendirian

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bahkan awal-awal lagi memberitahu yang parti itu tidak berhasrat menguasai Johor sebaliknya sekadar ingin menjadi pembangkang dan penasihat kepada kerajaan.

Kelmarin PAS juga mengeluarkan arahan penyokong mereka memberikan undi kepada BN - termasuk di kerusi yang ditandingi oleh calon bukan Islam atau bukan Melayu.

Isu latar belakang seseorang calon dianggap signifikan kepada percaturan PAS kerana parti itu konsisten memperjuangkan kepentingan Melayu Islam sejak akhir-akhir ini.

Pada masa sama Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan sokongan terbuka PAS itu tidak sesekali akan mengubah status semasa atau mewujudkan sebarang bentuk kerjasama rasmi baru antara mereka.

Menurut Mujahid, komitmen juga PAS boleh dipersoalkan kerana mereka tidak menunjukkan kesungguhan membantu Bersatu di sebalik status kedua-dua parti merupakan komponen PN.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, pengabaian sama turut dipamerkan PAS ke atas dua lagi parti komponen PN iaitu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Pejuang yang masing-masing meletakkan lima dan seorang calon.

"Tapi kita nampak PAS tak nak cakap tentang itu (MIPP dan Pejuang), sebaliknya dia cakap tentang menyokong BN," katanya.

Sebaiknya, kata Mujahid, pengundi Johor menolak parti yang sebegitu kerana tiada pendirian.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, menyifatkan perkembangan semasa sebagai bukti bahawa BN kini sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan sendiri sehingga terpaksa mengharapkan talian hayat daripada PAS.

"Selama ini PAS membawa naratif kononnya perjuangan mereka berasaskan prinsip. Tetapi apabila tiba musim pilihan raya, prinsip itu berubah mengikut kepentingan politik.

"Dahulu PAS menyerang parti itu tetapi sekarang mereka mengarahkan ahli mengundi calon dari parti yang sama mereka kritik.

"Persoalannya mudah: di mana prinsip PAS?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS