Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes tikam pelajar sekolah di Banting direman empat hari

Suspek kes tikam seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di Banting direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 15 tahun itu dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok, di Kuala Langat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi menerusi pesanan whatsapp.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) S. Vijeswari Devi mewakili suspek pada hari ini turut mengesahkan anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme.

Terdahulu, suspek berusia 15 tahun tiba di Mahkamah Telok Datok dengan menaiki trak polis pada kira-kira 8.08 pagi tadi sebelum dilihat keluar pada sekitar 9 pagi tadi.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting telah ditahan pihak polis.

JPN Selangor turut memaklumkan pelajar perempuan yang cedera sedang diberikan rawatan di Hospital Banting.

Bapanya ketika ditemui memaklumkan anaknya berusia 15 tahun cedera di bahagian paru-paru selain turut mengalami 16 luka tikaman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS