Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Diberi RM100, mintalah RM500, tapi tetap undi PH' - Shamsul
Diterbitkan:  Jul 7, 2026 12:19 PM
Dikemaskini: 5:34 AM
1

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat apabila parti-parti bertanding memperhebat kempen menerusi pelbagai pendekatan.

Berbaki lima hari menjelang hari mengundi, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin mencuri perhatian apabila menyeru pengundi supaya memilih PH dalam gaya seperti membacakan talkin.

Dengan mengenakan selendang dan berkopiah sambil diterangi cahaya suram, Shamsul menyampaikan pesanan "menyeramkan" itu kepada pengundi Johor.

"Wahai pengundi-pengundi Johor, akan datang kepada kamu Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan parti-parti Bersama yang lain. Janganlah kamu merasa gerun dan gentar kerana mereka adalah makhluk Allah.

"Apabila diberi RM100, mintalah RM500. Apabila diberi kopi dan teh, mintalah Milo, susu dan beras untuk keperluan selama sebulan.

"Namun apabila diminta untuk mengundi mereka, jawablah dengan lidah yang fasih dan terang. Kami tetap akan undi Harapan," ujarnya dalam suara bergema.

Bekas Pengerusi PKR itu berkata demikian menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, bekas mursyidul am PAS,Nik Aziz Nik Mat juga pernah mengeluarkan kenyataan yang hampir sama.

“Beri pitih, ambik. Beri gula, kacau. Beri kain pakai.

“Beri kertas undi, pangkah bulan (logo PAS). Dia nak buat guano kito?” katanya ketika itu.

Altimet suruh padam

Bagaimanapun tindakan Shamsul itu tidak diterima baik rakan seperjuangannya dalam PKR, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

"Jangan main-mainkan hal macam ni. Mohon delete," kata Altimet.

Pengguna media sosial lain turut mengecam bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu, dengan mengingatkannya mengenai kes rasuah yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Pada Disember lalu, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM176,830 daripada ahli perniagaan Albert Tei.

Dia didakwa menerima suapan ketika memegang jawatan setiausaha politik kepada Anwar bagi membantu syarikat milik Tei mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Tei juga didakwa atas pertuduhan menawarkan rasuah berkenaan.

Sebelum itu, video Shamsul menghisap cerut di sebuah gerai tepi jalan yang dipercayai di Johor turut tular di media sosial.

Tindakan itu dipersoalkan oleh sesetengah pihak yang mendakwa ia mungkin melanggar larangan merokok di premis makanan.

Selain dakwaan rasuah, Tei turut mendakwa dia membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli cerut premium dan menyediakan sut khas untuk Shamsul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS