PRN JOHOR | Menegaskan Putra adalah sebuah parti yang pintar, bermaruah serta berprinsip, Ibrahim Ali hari ini menyeru orang ramai memenangkan PN dan menolak sama sekali BN, PH serta parti yang menyatakan sokongan kepada BN.
Presiden Putra itu berkata PH sudah gagal sebagai kerajaan, manakala BN pula menjadi rakan kongsi kepada kegagalan tersebut
Justeru, kata Ibrahim, tidak ada sebab untuk Putra menolak PH namun mahu menyokong BN kerana itu menggambarkan sifat sebuah parti yang hipokrit serta talam dua muka.
"Kalau ada parti yang kononnya mahu menghukum PH tetapi pada masa yang sama menyuruh rakyat menyokong BN, itu politik cari makan.
"Pagi hentam, petang sokong. Siang lawan, malam berunding. Depan rakyat cakap prinsip, belakang rakyat cari tempat duduk," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia dibuat menjelang hari pengundian di Johor pada Sabtu ini.
Meskipun tidak menamakan sebarang parti dalam kritikannya, Ibrahim dipercayai menyindir PAS yang baru-baru ini secara terbuka mengarahkan penyokong parti tersebut memenangkan BN di kerusi yang tidak ditandingi PAS.
Untuk rekod, PAS sempat menawarkan kerjasama kepada BN beberapa ketika selepas DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu. Parti itu mencadangkan agar BN menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional - yang ditubuhkan mereka pada 14 Sept 2019.
Sokong parti lawan PH, BN
Menariknya, Muafakat Nasional kemudian berkubur selepas PAS mengambil tindakan sepihak meninggalkan Umno untuk menubuhkan PN bersama Bersatu pada Mac 2020.
Dalam PRN Johor kali ini, PAS - yang kini menguasai PN - meletakkan hanya 11 calon berbanding 56 kerusi yang ada dalam DUN. Bersatu - yang masih berseteru dengan PAS - pula menurunkan 16 calon.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata PAS bertanding di Johor hanya untuk menjadi pembangkang serta penasihat kerajaan. Dia juga menegaskan bahawa PAS mahu memastikan Johor diperintah oleh Melayu Islam.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula dipetik sebagai berkata, penyokong parti itu diminta mengundi calon MCA dan MIC dalam PRN Johor sebagai usaha menyekat PH daripada menang.

Ibrahim berkata Putra mempunyai pendirian yang jelas dan tetap, serta tidak tergugat dengan tarikah kuasa, wang atau jawatan.
Putra, tambah bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, sanggup bersusah-payah namun tidak akan menjual maruahnya.
"Putra bukan parti yang menghidu di mana makanan sedang terhidang," katanya.
Pada masa sama, Ibrahim menegaskan, rakyat tidak boleh diperdaya kononnya wujud perbezaan antara PH dan BN.
PH dan BN, dakwa Ibrahim, hanyalah "dua pintu kepada rumah kuasa yang sama".
"Pelik bin ajaib. Ada pihak kata (mereka) menolak PH, tetapi boleh pula menyokong BN.
"Bukankah PH dan BN hari ini satu kapal, satu bilik dan satu rumah kuasa?" katanya.
Justeru, tambah Ibrahim, prinsip yang dipegang Putra adalah mudah - tolak PH dan BN serentak dengan menyokong mana-mana parti yang jelas melawan mereka.
