Upacara pengebumian Ayatollah Ali Khamenei dijadual berlangsung di Makam Imam Reza di Mashhad pada Khamis, lebih empat bulan selepas pemimpin tertinggi Iran itu terbunuh dalam serangan udara Israel,,
Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan upacara pengebumian di makam paling suci bagi penganut Syiah di Iran itu akan diadakan secara tertutup.
Upacara penghormatan terakhir kepada Khamenei bermula pada Sabtu lalu di ibu negara, Tehran, dengan jutaan penyokong hadir memberi penghormatan kepada bekas pemimpin politik dan kerohanian itu yang memerintah Iran selama 36 tahun.

Upacara itu kemudian diteruskan di bandar suci Qom sebelum berlangsung di negara jiran, Iraq pada Rabu.
Tumpuan kini terarah kepada sama ada anak serta penggantinya, Mojtaba Khamenei, akan membuat kemunculan pertama di khalayak sejak bermulanya perang Iran apabila perarakan pengebumian itu tiba di destinasi terakhirnya di Mashhad.
Mojtaba Khamenei tidak lagi kelihatan di khalayak sejak dinamakan sebagai pemimpin tertinggi pada Mac, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth mendakwa dia "cedera dan berkemungkinan mengalami kecacatan fizikal."
Ali Khamenei terbunuh pada 28 Feb dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman rasminya di Tehran.

Sebelum ini, Anadolu Ajansi (AA) melaporkan jenazah Khamenei tiba di bandar Karbala, Iraq pada Rabu.
Media Iraq melaporkan orang ramai membanjiri Karbala selepas keranda Khamenei dibawa dari bandar Najaf, lokasi upacara penghormatan terakhir diadakan pada Selasa.
Kerajaan Iraq mengisytiharkan Rabu sebagai cuti umum bagi melancarkan urusan perarakan pengebumian yang turut merangkumi upacara di Makam Imam Hussein dan Makam Abbas di Karbala.
Perarakan itu dijadual berakhir pada Khamis di Makam Imam Reza di Mashhad, kampung halaman Khamenei di timur laut Iran, yang turut menjadi lokasi pengebumiannya.
Khamenei terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb, sekali gus mencetuskan beberapa minggu serangan balas Tehran yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
