Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Perlis letak jawatan dalam kepimpinan Bersatu
Diterbitkan:  Jul 9, 2026 1:26 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat atas alasan ingin memberi tumpuan penuh kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela tanpa ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

"Beberapa mesyuarat badan pimpinan Bersatu peringkat pusat saya tidak dapat hadirkan diri, jadi atas perkara itu kita lepaskan jawatan kita buat sementara waktu.

"Kita beri komitmen sepenuhnya kepada perkhidmatan kepada Bersatu bahagian Kangar dan juga Perlis.

"Kita tidak ada tekanan tidak ada permasalahan," katanya kepada media dalam satu program di Perlis hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Abu Bakar berkata dia akan memberi sepenuh tumpuan kepada pentadbiran kerajaan Perlis.

"Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Perlis dalam usaha kita menarik pelabur," katanya lagi.

Terdahulu timbul spekulasi mengenai peletakan jawatan beberapa pimpinan Bersatu negeri Perlis.

Selain Abu Bakar, exco kerajaan negeri Perlis Marzita Mansor turut dilapor meletakkan jawatan serta-merta sebagai anggota MPT Bersatu.

Peletakan jawatan Marzita yang juga Adun Sena dalam Bersatu turut disahkan Abu Bakar.

Sementara itu ditanya sama ada dia akan menyertai parti lain selepas ini, Abu Bakar menegaskan tiada kena mengena dengan sebarang lompat parti.

"Setakat ini tiada kena mengena dengan nak menyertai parti A atau parti B sebab kami masih terikat dalam akta antilompat parti," jelasnya.

Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin Bersatu pusat, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS