Paling Popular
Terkini

PRN JOHOR | Menjelang hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, bukan sahaja pengundi Cina menunjukkan tanda-tanda tidak puas hati terhadap parti yang pernah mereka sokong dahulu.

Meskipun pengundi Melayu terutama mereka yang berusia masih menunjukkan kesetiaan khususnya kepada BN, ramai pengundi muda dan golongan usia pertengahan yang ditemui Malaysiakini berkata mereka bersedia untuk menukar haluan.

Antaranya Mohamad Khairudin, 55, yang berkata corak mengundinya berubah seiring waktu dan dia kini cenderung menyokong BN berikutan pengaruh Menteri Besar Johor sementara, Onn Hafiz Ghazi.

Pengundi di Puteri Wangsa itu berkata BN lebih banyak menyelesaikan isu penduduk tempatan seperti banjir, kesesakan lalu lintas atau pokok tumbang, dan bukannya parti Muda.

"Onn Hafiz ni saya rasa anugerah terbesar untuk Puteri Wangsa,” katanya.

Namun, bukan semua yang berpandangan positif terhadap Onn Hafiz menyokong BN - termasuk sekumpulan rakan di Puteri Wangsa yang berasa muak dengan politik.

"Kita dah letih dengan dia orang punya gebang,” kata salah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Azman ketika menghirup segelas teh ais.

Rakannya, Ali (bukan nama sebenar), menambah: “Ahli politik cakap lain, buat lain.”

Bagi Azman, dia boleh menerima pemimpin Umno di Johor tetapi bukan pemimpin atasan parti itu, merujuk kepada presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita sebut namalah. Onn Hafiz bagus, tapi atas dia siapa? Zahid. Kita tak sokong Zahid kita sokong Onn Hafiz.

"Dia orang ni tengah testing (menguji) di Johor macam mana nak diolah untuk PRU nanti. Yang dibodohkan adalah rakyat.

"Itu yang timbul rasa 50-50, kita kecewa," katanya.

Azman berkata dia belum membuat keputusan untuk memilih parti mana tetapi menyatakan minat kepada Parti Bersama Malaysia yang merupakan parti serpihan PKR bagi melaksanakan proses semak dan imbang kepada kerajaan.

Namun, rakan-rakannya yang lain kurang keyakinan terhadap Bersama kerana berpendapat parti baru itu hanya berhasrat untuk memecahkan undi tanpa memenangi sebarang kerusi.

Sementara itu, dalam perjalanan menaiki Grab ke Johor Jaya, seorang pemandu wanita yang enggan namanya disiarkan tetapi mengaku sebagai penyokong Umno berkata rasa tidak puas hati terhadap Ahmad Zahid masih menyebabkan sebahagian golongan muda Melayu menjauhkan diri daripada BN.

"Sekarang pula orang muda banyak yang susah, jadi mereka tak kira parti mana. Fikir kelangsungan hidup saja," ujarnya.

Cabaran kos sara hidup

Ahmad Zahid berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan akar umbi, terutama selepas dia membawa Umno BN untuk bekerjasama dengan PH walaupun sebelum ini berjanji “No Anwar, No DAP”.

Namun, bukan hanya Ahmad Zahid yang menjadi pertimbangan pengundi.

Perbualan Malaysiakini dengan beberapa pengundi lain di Puteri Wangsa dan Johor Jaya turut tertumpu kepada rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup - masalah yang mereka kaitkan dengan Anwar dan kerajaan Persekutuan.

Seorang ibu yang tunggal berkata dia berharap calon yang akan diundinya nanti lebih baik berbanding wakil rakyat sebelum ini, sambil menyatakan keluhan kerana hanya memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan.

“Sekarang nak cari duit susah,” kata ibu kepada dua anak itu yang hanya memperkenalkan diri sebagai Norshafiqah.

Ditanya mengenai pandangannya, Norshafiqah berkata dia lebih menyukai kerajaan Persekutuan sebelum dipimpin Anwar - namun tidak jelas sama ada dia merujuk kepada kerajaan BN atau PN.

Pasangan suami isteri, Budi Nor Azam dan Norhafizah Ali, yang bekerja sebagai pencuci, turut menyuarakan kekecewaan sama.

Mereka berkata kenaikan harga barang menyebabkan kenaikan gaji minimum tidak memberi banyak manfaat, manakala pendapatan isi rumah mereka pula melebihi syarat kelayakan untuk menerima bantuan kerajaan walaupun masih berdepan tekanan kewangan.

Apabila ditanya sama ada undi mereka boleh berubah lagi pada masa depan, Norhafizah pantas menjawab:

"Ya. Kalau dia tak buat apa yang dia janjikan".

Norhafizah turut berkata dia bengang dengan kenyataan Anwar di Kulai baru-baru ini apabila perdana menteri itu berkata sama ada menang atau kalah, dia tetap akan menjadi perdana menteri.

Katanya, walaupun dia mungkin bukan penyokong BN, kenyataan perdana menteri itu amat tidak wajar.

"Nak bagi dia tempoh lagi lima tahun jadi perdana menteri mungkin tak kut kalau tahun depan kita mengundi. (Tetapi sekarang) tiba-tiba jadi semangat mengundi, mungkin nak bangkang dia," katanya.

Sementara itu, seorang lagi responden, pengusaha gerai makanan berusia 29 tahun, Tajudin Muhammad, turut berharap berlaku perubahan pada PRN kali ini.

Dia juga meluahkan rasa kecewa dengan harga rumah yang mahal terutama di kawasan Greater Johor Bahru.

"Rumah sekarang mahal, nak beli tak mampu. Nak sewa pun mahal. Sekarang saya tumpang family," katanya.

Di kawasan Puteri Wangsa dan Johor jaya, pengundi Melayu membentuk sekitar 40 peratus pengundi.

Namun, sebarang perubahan sokongan mereka boleh menjadi penentu, terutama jika kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina yang cenderung menyokong PH tidak mencapai tahap yang diperlukan gabungan itu untuk menang.

Bagaimana undi Bersatu?

Namun, pilihan raya kali ini bukan hanya mengenai sokongan kepada Ahmad Zahid atau Anwar.

Turut menjadi tanda tanya ialah ke mana penyokong Bersatu akan mengalihkan undi mereka di kerusi yang tidak ditandingi Bersatu atau PN.

Namun satu persoalan yang pertama kali diperhatikan Malaysiakini di Larkin - iaitu pengundi Bersatu dilihat merahsiakan pilihan mereka - turut berlaku di kawasan lain seperti Semerah dan Benut.

10,000 pengundi 'hantu' PN akan jadi penentu di kerusi majoriti Melayu di JB

Seperti di Larkin, ramai pengundi yang ditemui Malaysiakini di Benut - yang terletak lebih 70 kilometer dari situ - tidak mengetahui siapakah akan diundi penyokong PN, malah ada yang percaya PN tidak mempunyai pengaruh di kawasan tersebut.

Ini berlaku walaupun PN menerima hampir 37 peratus undi di Benut dalam pilihan raya umum pada November 2022.

Keadaan di Semerah lebih jelas, apabila bekas setiausaha cawangan Bersatu, Muhamad Mustakin, memberitahu Malaysiakini bahawa ramai penyokong parti itu tidak lagi secara automatik menyokong calon PN.

Sebaliknya, dia menjangkakan sebahagian akan menyokong PAS manakala sebahagian lagi mungkin beralih kepada PH sebagai tanda protes terhadap keretakan hubungan antara kedua-dua parti.

Seorang ketua kampung yang memperkenalkan dirinya sebagai Tok Can turut melihat kekeliruan yang sama.

“Macam satu kepala tapi ekor lain-lain,” katanya, menggambarkan perbualannya dengan penyokong Bersatu yang tidak lagi merasakan mereka sehaluan dari segi politik dengan calon PAS.

Seorang lagi ketua kampung, Mohamad Dayus Tomiran, pula percaya sebahagian penyokong PAS semakin terbuka untuk menyokong BN kerana mereka melihat pemimpin BN aktif membantu penduduk.

PAS dilihat mengarahkan penyokong PN supaya menyokong BN. Jika seruan itu dipatuhi sepenuhnya, BN berpotensi menang dengan mudah di kebanyakan kerusi. Namun, pengaruh PAS di Johor agak lemah, manakala majoriti penyokong PN di negeri itu ialah penyokong Bersatu.

Bersatu sendiri pula berpecah - dengan penyokong yang berpihak kepada presiden parti, Muhyiddin Yassin, paling berkemungkinan mengundi sebagai tanda protes.

Memandangkan PN sering menjadi pencabar utama di banyak kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya negeri dan PRU pada 2022, sebarang perubahan undi Bersatu boleh menentukan sama ada ia memihak kepada BN atau menentangnya.

Johor akan memilih pada Sabtu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS