PRN JOHOR | Seramai 1,809,851 orang daripada lebih 2.6 juta pemilih berdaftar keluar mengundi setakat jam 5 petang ini, menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jumlah itu meliputi 67.44 peratus daripada keseluruhan pengundi di negeri itu.
SPR memaklumkan kerusi DUN Sri Medan dan Semerang mendahului peratusan keluar mengundi tertinggi, dengan masing-masing sebanyak 77.2 peratus dan 76.8 peratus, diikuti DUN Sedili (74.3 peratus).
DUN Bekok dan Stulang pula mencatat peratus keluar mengundi paling rendah iaitu masing-masing 58.9 peratus dan 60.5 peratus peratus, diikuti DUN Perling (60.6 peratus).
Sebagai perbandingan, jumlah keluar mengundi keseluruhan bagi tempoh yang sama pada PRN Johor ke-15 (2022) ialah 53.13 peratus atau 1,367,909 daripada lebih 2.5 juta pengundi.
Peratusan keluar mengundi keseluruhan pada PRN 2022 ialah 54.92 peratus.
Dengan tempoh mengundi akan ditutup pada 6 petang, dijangka jumlah peratus mengundi akan mencapai sasaran 70 peratus yang sebelum ini ditetapkan oleh SPR.
