Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham Jalil sertai PAS, sifatkan parti itu paling bersih dari rasuah
Diterbitkan:  Jul 11, 2026 3:32 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada parti itu semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Isham berkata dia memilih PAS sebagai wadah perjuangan selepas tiga tahun tidak berparti berikutan pemecatannya daripada Umno pada 2023.

Menurut Isham, PAS kini menjadi tempat untuk "orang Melayu berlindung" dan menyifatkan parti itu sebagai parti paling bersih daripada rasuah.

"PAS adalah tempat orang-orang Islam dan orang-orang Melayu berlindung kini.

"PAS juga adalah parti yang paling bersih dari rasuah di negara ini. Untuk membersihkan negara ini daripada rasuah dan salahguna kuasa, kita perlu angkat pemimpin dan kerajaan daripada parti yang bersih dari rasuah," katanya.

Isham berkata dia percaya sekiranya PAS diberi kuasa dan amanah untuk memimpin negara, parti itu akan memberi contoh teladan yang baik ke arah penghapusan rasuah.

Ketika bersama Umno, Isham pernah berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri di bawah Perdana Menteri ke-6, Najib Razak sebagai pegawai khas.

Dia disingkirkan daripada Umno pada 7 Dis 2023 kerana didakwa melanggar disiplin parti, mengkritik pimpinan secara terbuka, dan gagal menghadiri mesyuarat MKT sebanyak empat kali.

Antara lain Isham mengkritik kerjasama Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan, selain menggesa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Percaya PAS dapat satukan Ummah

Dalam kenyataan yang sama, Isham berkata dia ingin melihat orang-orang Melayu kembali bersatu ke arah penyatuan nasional.

"Untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam penyatuan nasional, orang-orang Melayu perlu bersatu dahulu sebab orang-orang Melayu adalah majoriti di negara ini.

"Jika orang-orang Melayu dan majoriti berpecah, penyatuan nasional tidak akan menjadi kenyataan. Dan untuk menyatukan orang-orang Melayu, parti-parti Melayu yang besar mahupun kecil perlu bersatu padu.

"Saya yakin PAS sebagai parti terbesar orang-orang Melayu dan parti terbesar di Malaysia kini mampu menggalas tanggungjawab dan amanah ke arah penyatuan ummah dan penyatuan nasional ini,” katanya.

Justeru Isham berkata dia berharap PAS dan Umno dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan dan Melaka selepas pilihan raya negeri akan datang sebagai langkah ke arah "penyatuan ummah" di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, Mohamed Sukri Omar mengesahkan penyertaan Isham ke dalam PAS.

Menurut Mohamed Sukri, dia menerima mesej WhatsApp daripada Isham pada malam Jumaat yang memaklumkan mengenai penyertaannya ke dalam parti itu.

"Keputusan ini lahir daripada keyakinan beliau untuk memilih Pas sebagai wadah siasah dalam memperjuangkan serta mempertahankan agama, bangsa dan negara.

"Sesungguhnya, perjuangan PAS sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ikhlas ingin berbakti.

"Kita tidak membina perjuangan atas dasar kepentingan peribadi, tetapi atas dasar akidah, prinsip dan tanggungjawab untuk memimpin masyarakat dengan nilai-nilai Islam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS