PRN JOHOR | Dua calon PH membangkitkan kebimbangan mereka terkait dakwaan wujudnya “pengundi hantu” susulan aduan awam selepas mendakwa tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, calon PKR bagi kerusi DUN Senggarang, Onn Abu Bakar, berkata dia dimaklumkan ada seorang pengundi di kawasan berkenaan membuat laporan polis selepas gagal membuang undi.
Onn berkata individu terbabit tidak dibenarkan mengundi selepas dimaklumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang bahawa namanya telah direkodkan menggunakan butiran MyKad miliknya.
Ia berlaku walaupun pengundi berkenaan menegaskan bahawa dia masih belum mengundi dan menunjukkan jarinya yang tidak mempunyai kesan dakwat kekal sebagai bukti.

Sementara itu calon DAP bagi kerusi DUN Senai, Wong Bor Yang, turut menyatakan perkara sama membabitkan seorang pengundi lain dengan menyifatkan perkara itu sebagai “kes unik” melibatkan “aduan pengundi yang sangat jarang berlaku”.
Wong berkata wanita berkenaan hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Malaysia pagi tadi bagi menunaikan haknya untuk mengundi, namun sistem pengesahan identiti SPR menunjukkan dia telah pun mengundi.
“Memandangkan namanya dalam daftar pemilih telah dipangkah, beliau tidak memenuhi syarat asas untuk menerima kertas undi.
“Pegawai pengurus mengeluarkan Borang 10A (penolakan pengeluaran kertas undi), menyebabkan beliau tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia yang sebelum ini menjadi Adun Senai itu berkata wakil calon segera melaporkan perkara tersebut kepada SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pegawai JPN kemudiannya mengesahkan ketulenan MyKad pengundi berkenaan, manakala pengundi tersebut dinasihatkan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Wong berkata siasatan itu penting bagi menentukan sama ada MyKad pengundi berkenaan telah disalahgunakan atau terdapat kelemahan dalam sistem daftar pemilih.
“Berdasarkan siasatan awal, ada kemungkinan seseorang yang mempunyai jantina, bangsa dan umur yang hampir sama telah membuang undi sebelum ini menggunakan dokumen yang serupa atau menyamar sebagai pengundi terbabit,” katanya.
Dia turut menegaskan pegawai di pusat mengundi biasanya bergantung kepada pemeriksaan visual untuk mengesahkan identiti pengundi berbanding penggunaan peranti pembaca cip seperti yang digunakan oleh institusi perbankan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kesukaran untuk membezakan dengan segera individu yang mungkin menyamar tetapi mempunyai ciri fizikal yang hampir sama.
