Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pesara meluahkan rasa terkilan selepas dia bersama ibu bapanya yang warga emas tidak dapat mengundi kerana pusat pembuangan undi di DUN Bukit Pasir ditutup ketika mereka tiba.

Subramaniam Periasamy, 67, berkata dia bersama ibu bapanya yang masing-masing berusia 94 dan 88 tahun tiba di SJK (T) Ladang Nordanal pada jam 2.26 petang namun tidak dibenarkan masuk.

Katanya, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan alasan bahawa pusat pengundian itu ditutup secara rasmi pada jam 2.00 petang.

"Sebagai pengundi, kami tidak diberitahu tentang perubahan masa tersebut. 

"Sejak saya menjadi pengundi di pusat tersebut, setahu saya waktu mengundi adalah dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang," katanya kepada Malaysiakini.

Kebanyakan pusat pengundian dibuka sehingga enam petang.

Namun, katanya dia enggan berganjak dan memilih untuk menunggu di luar pagar bagi mendapatkan penjelasan daripada pegawai kanan SPR yang bertanggungjawab di kawasan terbabit.

"Seorang pegawai SPR hanya tiba di lokasi sekitar jam 4.00 petang untuk mengadakan perbincangan dengan pengadu mengenai situasi yang berlaku.

"Pegawai berkenaan memaklumkan bahawa perubahan waktu pengundian itu telah pun dimaklumkan terlebih dahulu menerusi pengumuman rasmi yang dibuat di kawasan mengundi," katanya.

Bagaimanapun, Subramaniam mempertikaikan tindakan itu kerana mendakwa tiada sebarang notis atau paparan maklumat berkaitan perubahan masa diletakkan di luar pagar atau pintu masuk utama pusat mengundi.

"Dia (pegawai) ada memberitahu bahawa maklumat perubahan masa ada ditampal di dalam, tetapi saya sebagai pengundi memang tidak dapat melihat paparan tersebut (dari luar)," katanya.

Subramaniam berkata bahawa kelewatan mereka berpunca daripada cuaca hujan lebat serta kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang perjalanan dari Bukit Pasir, manakala ibu bapanya pula datang dari Muar.

Dia turut melahirkan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan pilihan raya yang disifatkannya sebagai tidak mempunyai budi bicara dan nilai perikemanusiaan, memandangkan mereka–yang ketiga-tiganya warga emas–hadir dalam keadaan cuaca buruk,

Subramaniam membuat laporan polis di Balai Polis Grisek, Tangkak dan meminta pihak polis menyiasat insiden tersebut.

Pusat daerah mengundi (PDM) SJKT Ladang Nordanal mempunyai 144 pengundi berdaftar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS