Bekas pemimpin kanan Umno berpendapat, di sebalik gagal menggapai sebarang kemenangan atau mempertahankan kerusinya, PAS tetap mencatat satu kejayaan dalam PRN Johor yang berakhir semalam.
Kata Mohd Puad Zarkashi, percaturan PAS kali ini berjaya “menamatkan riwayat” parti yang bergerak di bawah payung bersama mereka – Bersatu
Malah, katanya, kejayaan itu dicapai selepas PAS gagal dalam usaha awal mereka apabila “memberi muka” kepada Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, yang kini mengetuai organisasi siasah baru, Parti Wawasan.
“Tetapi kali ini (melalui PRN Johor) memang Bersatu ranap terus,” tulisnya di media sosial pagi ini.
PRN Johor yang berakhir semalam menyaksikan BN negeri itu mencatat kejayaan lebih baik berbanding pencapaian mereka pada 2022 apabila menambah bilangan kerusi yang dimenangi, daripada 40 kepada 48.
PH yang menjadi lawan utama BN pula merosot daripada 12 kerusi menjadi lapan.
PN – yang kini dikuasai PAS – secara keseluruhan meletakkan 33 calon berbanding jumlah keseluruhan kerusi yang ada di Johor iaitu 56. PAS sendiri hanya meletakkan calon di 11 kerusi.
Bakinya ditandingi Bersatu (16 kerusi), Parti Rakyat India Malaysia (lima) dan Pejuang (satu).
Sanggup bunuh parti komponen sendiri
Parti itu juga secara terbuka awal-awal lagi memberitahu matlamat mereka hanya mahu menjadi pembangkang serta penasihat kepada BN Johor. Pada masa sama PAS menawarkan bantuan untuk “menampung” keperluan jika BN Johor memerlukan.
Pada masa sama PAS mengarahkan ahli dan pendukungnya untuk memberikan undi kepada calon BN di kawasan yang tidak ditandingi mereka, termasuk memenangkan calon MCA dan MIC dalam usaha mereka memastikan PH kalah.
Sebelum ini hasil PRN 2022 PAS memenangi kerusi DUN Maharani, manakala Bersatu menguasai DUN Bukit Kepong dan Endau.
Semalam, tiada seorang pun calon PN berjaya memenangi mana-mana kerusi.

Kata Mohd Puad pada pandangannya sumbangan PAS kepada kemenangan BN besar semalam adalah sangat kecil berdasarkan kepada data yang ada di kawasan Tiram, Tenang, Jementah dan Simpang Jeram.
Untuk rekod empat kerusi yang disebut bekas Speaker DUN Johor itu turut ditandingi PAS. Berdasarkan keputusan rasmi, calon mereka berada di kedudukan ketiga dengan jumlah undi tertinggal jauh berbanding pemenang.
Kata Mohd Puad, kemenangan BN semalam disumbangkan oleh gelombang sokongan pengundi yang begitu besar, selain undi masyarakat Cina yang kembali kepada parti itu.
“PAS membayar harga yang mahal di PRN Johor.
“Mereka mengamalkan politik pelik. Sanggup bunuh rakan komponen sendiri.
“Kini PAS lengkap sebagai parti yang tidak boleh jadi rakan kongsi. PAS adalah The loser, maka tidak wajar PAS dapat Adun lantikan,” katanya.
