Bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi mendesak Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming supaya segera meletakkan jawatannya demi menjaga integriti parti dan kerajaan Perpaduan.
Desakan tersebut dibuat menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook berikutan isu integriti yang melibatkan menteri berkenaan. Puad berkata, pemimpin DAP tersebut tidak sepatutnya memberikan pelbagai alasan untuk mempertahankan kedudukannya.

“Saya mahu menasihatkan Nga Kor Ming letak jawatan segera sebagai Menteri KPKT. Jangan bagi banyak alasan. Jaga integriti kamu, parti kamu dan kerajaan perpaduan,” katanya.
Puad turut membandingkan situasi tersebut dengan tindakan peribadinya sebelum ini yang memilih untuk keluar daripada Umno semasa Barisan Nasional (BN) berada dalam kedudukan yang kuat.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat demi menyampaikan mesej yang jelas, walaupun dia terpaksa kehilangan jawatannya dalam Umno.
“Ikut macam saya. Bila saya mahu keluar parti, saya tetap keluar parti.
“Saya sebut, saya keluar parti ketika parti berada dalam kedudukan kuat. Ternyata betul, BN menang 48 kerusi (pada PRN Johor Sabtu lalu).
“Tetapi saya tidak kesal kerana mesej saya sampai walaupun saya turut hilang jawatan MKT,” katanya.
Dalam pada itu, Puad turut membidas sikap Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh yang didakwa gagal mengototkan janji untuk meletakkan jawatan sebelum ini.
“Jangan ikut perangai Akmal. Dia kata mahu letak jawatan. Tetapi tidak jadi. Dia bagi berbagai alasan. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
“Pokoknya dia tidak ada integriti,” kata Puad lagi.

Pada 4 Februari lalu, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata Akmal kekal sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri bagi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bernama melaporkan dia sebagai berkata walaupun Adun Merlimau itu menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai anggota exco, perkara berkenaan belum dibincangkan dengan Yang di-Perua Negeri Melaka, Rustam.
"Saya belum berunding dengan (TYT)... bermakna buat masa ini dia kekal sebagai anggota exco," kata Rauf.
Pada perhimpunan Pemuda Umno 15 Januari lalu, Akmal mengumumkan peletakan jawatannya daripada kerajaan Melaka dan berikrar untuk menentang DAP "hingga ke titisan darah terakhir".
"Saya cukup berani untuk menyatakan bahawa saya meletak jawatan untuk 'lawan DAP habis-habisan'," katanya yang disambut dengan tepukan dan sorakan daripada para perwakilan.

Akmal berkata keputusan yang diambilnya adalah berdasarkan maruah.
"Apabila orang menyuruh saya meletak jawatan, saya mahu menyatakan bahawa saya mempunyai maruah. Saya ialah individu yang akan membawa suara rakyat di peringkat akar umbi. Saya membawa suara ahli akar umbi yang berasa bimbang.
"Saya dengan ini meletak jawatan sebagai anggota exco kerajaan Melaka berkuat kuasa minggu depan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sebagai respons kepada ikrar peletakan jawatan Akmal, Puad ketika itu memperkecilkan tindakan tersebut.
Katanya, alasan Akmal yang mahu "menentang DAP hingga akhir" tidak mempunyai impak yang besar berbanding jika dia meletak jawatan sebagai ketua Pemuda Umno.
Dalam satu hantaran di Facebook, dia menambah bahawa Akmal tidak perlu meletak jawatan daripada majlis mesyuarat kerajaan negeri memandangkan BN menerajui kerajaan Melaka.
