Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar biarkan Umno 'sembelih' DAP di Negeri Sembilan, kata Zaid
Diterbitkan:  Jul 13, 2026 3:53 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Ahli politik kanan, Zaid Ibrahim, yang baru-baru ini diumumkan menjadi ahli baru dalam keluarga besar PAS, mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membiarkan DAP menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk 'disembelih' oleh Umno.

Katanya, Umno sedang sedang mengadakan perbincangan mendalam dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya berkenaan, namun Anwar didapati tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan rancangan tersebut.

"Anwar sedang mencampakkan kamu ke bawah bas (membiarkan kamu disembelih), dan kamu tidak lakukan apa-apa mengenainya?

“(Bekas pemimpin DAP) Karpal dan Chen Man Hin tidak akan menerima penghinaan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, bekas menteri Umno yang pernah berjuang bersama PKR berkata, Anwar sepatutnya boleh mengambil tindakan awal dengan memecat semua menteri Umno daripada Jemaah Menteri yang diterajuinya.

“Sebagai permulaan, singkirkan semua menteri Umno dalam kabinet jika mereka tidak menghentikan rancangan untuk menghapuskan DAP.

“Langkah ini mungkin berkesan kerana Umno sangat gilakan jawatan,” katanya sambil mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin DAP hari ini berhubung situasi itu dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan.

Malam tadi, pada sidang media di Seremban, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa partinya sedang berbincang dengan Umno untuk PRN Negeri Sembilan menjelang hari berkempen yang bermula Sabtu ini.

Dia dilaporkan berkata, PAS berhasrat memberi laluan kepada Umno di 14 kerusi yang dipegangnya, dengan perbincangan tertumpu pada pembahagian 17 kerusi yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata bahawa dua kerusi yang dipegang oleh Bersatu juga mungkin akan dibincangkan.

"(Matlamatnya) adalah untuk orang Melayu-Islam memerintah Negeri Sembilan," katanya, sambil menambah bahawa PAS tidak mempunyai masalah jika Umno memegang jawatan menteri besar.

PAS sebelum ini menyokong usaha Umno Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri baru selepas parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan PH.

Mengulas lanjut, Zaid, berkata, situasi politik semasa memperlihatkan kemunculan kelompok baharu dalam kepimpinan DAP yang didakwanya lebih mengutamakan Anwar berbanding prinsip parti sendiri.

"Tetapi kita kini mempunyai kelompok baharu pemimpin DAP. Kasih sayang mereka terhadap Anwar mengatasi semua prinsip parti," katanya lagi.

Jika rundingan semasa antara PAS dan Umno adalah benar, ia boleh memberi manfaat yang besar kepada BN, dan menyediakan pentas untuk gelombang menentang PH yang serupa seperti dengan PRN Johor pada Sabtu lalu.

Walaupun BN tidak bertanding di semua kerusi dalam PRN Negeri Sembilan 2023, data menunjukkan bahawa gabungan undi BN dan PN adalah 59.9 peratus.

Pada pilihan raya umum November 2022, semasa BN bertanding di semua kerusi, gabungan undi mereka adalah 54 peratus.

PN sebenarnya mengalami lonjakan sokongan di Negeri Sembilan semasa PRN yang lalu berbanding pilihan raya November 2022, dipercayai susulan perubahan daripada penyokong BN yang tidak bersetuju dengan kerjasama dengan PH.

Tidak jelas bagaimana prestasi PN kali ini memandangkan keadaannya yang berpecah-belah.

Walau bagaimanapun, jika PAS dan parti-parti PN yang bersekutu dengannya memberi laluan kepada BN di sekurang-kurangnya 19 kerusi - ini akan membolehkan persaingan satu lawan satu dengan PH - ini kemungkinan besar akan membawa kepada kemenangan untuk BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS