Keangkuhan i DAP dalam memilih gerakan atau kumpulan politik Melayu sebagai rakan kerjasama menjadi punca parti itu hari ini berada dalam keadaan tidak menentu dan terpaksa bergantung kepada kepimpinan yang disifatkan sebagai 'prima donna'.
Bekas menteri Umno, Zaid Ibrahim berkata, masalah yang dihadapi oleh DAP ketika ini tidak dapat difahami tanpa memperincikan komponen PH yang lain.

Menurutnya, DAP merupakan satu-satunya parti dalam gabungan PH yang berjaya menarik sokongan politik yang signifikan, manakala parti rakan kongsi lain dilihat mempunyai kelemahan yang ketara.
"Anwar ialah seorang prima donna, satu personaliti dan tidak mewakili satu gerakan.
“Dia bertahan dengan sokongan Umno. PKR pula hanyalah sebuah kelab penyokong Anwar, manakala Amanah tidak mempunyai warna (tidak menonjol)," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Ahli politik kanan itu, yang baru-baru ini diumumkan menjadi ahli keluarga besar PAS, menambah kegagalan DAP untuk membina kerjasama yang utuh dengan gerakan Melayu lain menyebabkan parti itu kini tidak mempunyai pilihan selain terpaksa bekerjasama dengan seteru utama mereka, iaitu Umno.
Keadaan itu sekali gus menyaksikan usaha reformasi yang dilaungkan selama ini hanya tinggal nama atau sekadar reformasi luaran sahaja.

Menurut Zaid yang pernah berjuang bersama PKR, DAP tidak mempunyai gerakan berasaskan Melayu untuk menyokong mereka, lalu menyebabkan parti itu terpaksa mendakap seorang 'prima donna' sebagai pemimpin.
Pada masa sama, katanya, DAP menganggap PAS tidak cukup canggih dan terlalu ekstrem, selain melabelkan gelombang hijau sebagai berbahaya.
"Secara ringkasnya, keangkuhan yang membawa DAP ke dalam keadaan tidak menentu hari ini.
“Tiada gerakan atau kumpulan politik Melayu yang cukup baik untuk mereka; satu dianggap terlalu korup, dan satu lagi terlalu ekstrem, apa sahaja maksudnya," ujar Zaid lagi.

Zaid turut menyarankan agar perkara berkenaan dijadikan subjek perbincangan utama sekiranya DAP mahu mengadakan Kongres pada Ogos ini, memandangkan parti itu mempunyai ramai intelektual Melayu serta pemimpin yang sofistikated.
