Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang menyampaikan ucapan kepada rakyat menerusi siaran televisyen pada petang Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Ucapan itu dijadualkan pada 9 malam (0100 GMT Jumaat), menurut pengumuman menerusi akaun Truth Social beliau. Waktu berkenaan merupakan antara slot siaran televisyen paling utama di AS.

Seorang presiden lazimnya menyampaikan ucapan kepada rakyat apabila mahu membuat pengumuman penting atau susulan sesuatu peristiwa besar yang melibatkan rakyat Amerika.
Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan topik ucapannya.
Masih belum jelas sama ada dia akan menyentuh perang Iran yang mendominasi tajuk berita di AS sejak beberapa bulan kebelakangan ini, selain kenaikan harga petrol yang menyusul. Konflik itu kembali memuncak sejak beberapa hari lalu.
Ini bukan kali pertama Trump menyampaikan ucapan seumpama itu sejak memulakan penggal keduanya pada Januari 2025.
Pada Disember, ketika berdepan tekanan domestik yang semakin meningkat, dia mempertahankan rekod ekonominya.
Ucapan itu dijadualkan kira-kira empat bulan sebelum pilihan raya separuh penggal, ketika Parti Republikan pimpinan Trump mencatat prestasi kurang memberangsangkan dalam tinjauan pendapat.
Trump ancam gempur Iran dengan 'sangat hebat' dalam 48 jam
Sementara itu, Anadolu Ajansi melaporkan Trump sebagai berkata Washington akan melancarkan lebih banyak serangan terhadap Iran dalam tempoh dua hari akan datang, sambil mendakwa Tehran “tidak mempunyai apa-apa” untuk menghalang serangan itu.

“Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam ini dan kami akan menyerang mereka dengan hebat esok. Tiada apa yang mereka boleh lakukan mengenainya,” kata Trump pada Isnin dalam wawancara radio bersama pengulas politik dan pengacara bual bicara Hugh Hewitt.
“Mereka tidak mempunyai apa-apa. Mereka tidak mempunyai apa-apa selain hanya tahu bercakap besar,” katanya.
Trump turut membangkitkan kemungkinan menyerang sebuah kemudahan bawah tanah Iran dikenali sebagai Pickaxe Mountain yang menjadi perhatian susulan aktiviti disyaki berkaitan nuklear.
“Pickaxe mungkin menjadi sasaran bagi satu serangan besar tepat berhampiran pintu masuknya,” kata Trump sambil menambah AS “memantaunya dengan teliti”, namun ketika ini tidak melihat “sebarang aktiviti” di situ.

“Keadaan program nuklear mereka tidak berjalan dengan baik. Setiap kali kami mendengar mengenainya, kami musnahkannya.
"Jadi mereka tidak suka bercakap mengenainya. Tetapi kami mungkin akan menyerang Pickaxe dalam masa terdekat,” kata Trump.
