Doa rakyat Melaka dimakbulkan, demikian respons exco kerajaan negeri Akmal Saleh berhubung pengumuman DAP akan keluar daripada kerajaan negeri petang ini.
Akmal turut menyindir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang masih gagal meletakkan jawatan seperti dijanjikan.
"Alhamdulillah doa rakyat Melaka dimakbulkan.
“Nga Kor Ming bila lagi?" tulis Dr Akmal di Facebooknya.
Sindiran Ketua Pemuda Umno itu terhadap Nga susulan janjinya ketika berkempen di Johor yang dia akan meletakkan jawatan dalam kabinet jika BN menang besar dan bekas perdana menteri Najib Razak dibebaskan.
Terdahulu, Akmal juga pernah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri Melaka bagi membolehkannya “menentang DAP habis-habisan”.
Bagaimanapun peletakan jawatan Dr Akmal ditolak Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.
DAP Melaka dijadualkan mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri petang ini. Pemimpin mereka dikatakan akan meletakkan semua jawatan yang disandang dalam pentadbiran pimpinan BN.
Tindakan itu diambil sebagai protes terhadap pindaan perlembagaan yang dicadangkan untuk memperkenalkan ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik.
Ini merupakan ketegangan terbaru antara DAP dan Umno di Melaka. Sebelum ini Umno dan DAP Melaka pernah mencetuskan ketegangan dalam beberapa isu.
Pada Dis 2025, DAP Melaka menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penganjuran acara yang menggalakkan atau membiarkan perbuatan melanggar undang-undang.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mempertikai penganjuran program RXZ Members Ride 3.0 yang didakwanya memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya.

Kenyataan Khoo itu mendapat respons beberapa pemimpin Umno termasuk Akmal yang membidas DAP senyap dalam isu pemandu mabuk.
Selain tindakan DAP membuka cawangan di kawasan majoriti Melayu pada Mei lalu di Kampung Padang Temu, Melaka turut mengundang rasa kurang senang pemimpin Umno Kota Melaka.
Susulan itu, DAP dikritik Ketua Umno Kota Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman yang melihat ia sebagai naratif kononnya DAP ingin menjuarai isu Melayu.
Malah, pada awal tahun ini juga, Akmal pernah mencabar DAP Melaka supaya keluar daripada kerajaan negeri dalam konvensyen khas hala tuju Umno sama ada mahu kekal atau keluar daripada kerajaan pusat.
