Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak spekulasi mengenai pilihan raya umum mengejut, sambil memberi amaran kepada semua parti supaya tidak terlalu yakin.
Ketika menjawab soalan daripada Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Anwar menyatakan keyakinan bahawa pengundi mahukan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi, bukannya berpolitik sepanjang masa.
"Jadi bagilah masa. Kita ada mandat, sampai pilihan raya, bertempurlah pula. Saya tak ada masalah itu.
"Tentang mendengar suara rakyat, kita dengar suara rakyat. Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa,
"Saya pun tak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin. Kerana kita, fatawakkal 'alallah, innallaha yuhibbul mutawakkilin," katanya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Rosol dalam soalan tambahannya menyoal sama ada perdana menteri berhasrat membubarkan Parlimen bagi mengembalikan mandat kepada rakyat susulan dakwaan wujud ketidaktentuan ekonomi dan politik.
PRU akan datang hanya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, namun timbul spekulasi pilihan raya mengejut mungkin diadakan hujung tahun ini berikutan hubungan semakin merenggang antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Kedua-dua gabungan yang menjadi tunjang kepada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan kini berdepan persaingan sengit dalam PRN, yang terbaru menyaksikan kemenangan besar BN di Johor, Sabtu lalu.
BN menang 48 daripada 56 DUN Johor, manakala PH berkurangan daripada 12 kerusi kepada lapan.
Blok kerajaan Perpaduan mempunyai 146 kerusi dengan PH memegang 82 kerusi, BN - 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS): - 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - 6 kerusi, Warisan- 3 kerusi, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat- 2 kerusi manakala Bebas dan lain-lain mempunyai 1 kerusi.
Sementara Perikatan Nasional (PN) pula mempunyai 74 kerusi.
