Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rapid KL sahkan isu teknikal punca insiden LRT3

Rapid KL memaklumkan insiden membabitkan sebuah tren Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pada 4 Julai lepas berpunca daripada isu teknikal pada salah satu komponen tren yang bersentuhan dengan konduktor kuasa.

Dalam kenyataan hari ini, Rapid KL mengesahkan keadaan itu menyebabkan bunyi letupan kecil serta percikan api. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan operasi perkhidmatan laluan berkenaan berjalan seperti biasa.

Menurut kenyataan itu, sejurus kejadian pada 7.05 malam di Stesen Stadium Shah Alam, tren berkenaan dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan, manakala semua penumpang diturunkan di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

"Tren tersebut kemudiannya dibawa ke depoh untuk menjalani pemeriksaan terperinci.

"Komponen tren yang mengalami isu teknikal itu telah diganti dan tren berkenaan dibenarkan kembali beroperasi selepas melalui pemeriksaan serta disahkan selamat untuk perkhidmatan," menurut kenyataan itu.

Rapid KL menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan memandang serius setiap insiden yang melibatkan operasi perkhidmatannya.

"Sehubungan itu, pemeriksaan dan pemantauan terhadap tren-tren lain turut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan," menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS