Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Umno menjelang pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan, dan bukan bergerak bersama PAS.
Timbalan presidennya S Subramaniam, menegaskan bahawa langkah itu bukan luar biasa memandangkan pucuk pimpinan parti itu sebelum ini pernah menerima pelawaan rasmi untuk menyertai BN.
"Kami buat secara berasingan dengan Umno, bukan bersama PAS.
"Ini bukan perkara baru, presiden kami pernah dipelawa sertai BN.
"Tapi buat masa ini, perbincangan sekadar mengenai kerjasama PRN Negeri Sembilan," katanya kepada Malaysiakini.

Subramaniam yang juga bendahari agung Perikatan Nasional (PN) berkata isu kerjasama PAS dan BN di Negeri Sembilan tidak pernah dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi PN.
"Pendirian PAS menyokong BN di PRN Johor dan kini di PRN Negeri Sembilan adalah pendirian serta keputusan pucuk pimpinan PAS.
"Ia tidak dibawa dan dibincangkan lagi di MT PN serta ada sebarang keputusan di MT PN mengenai kerjasama antara PN dan BN.
"Di peringkat PN, kami masih berbincang segala jalan yang ada termasuk PN bertanding kesemua 36 kerusi DUN di PRN Negeri Sembilan," katanya.
Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyatakan partinya sedang mengadakan rundingan dengan Umno bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan menjelang hari berkempen bermula Sabtu ini.
Dalam sidang media di Negeri Sembilan baru-baru ini, Abdul Hadi mendedahkan PAS berhasrat memberi laluan kepada Umno di 14 kerusi yang dipegangnya, dengan tumpuan perbincangan beralih kepada pembahagian 17 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Anggota parlimen Marang itu turut membayangkan dua kerusi yang kini dipegang Bersatu mungkin akan turut dibawa ke meja rundingan.
Menurut Abdul Hadi, rundingan itu bertujuan memastikan “orang Melayu-Islam memerintah Negeri Sembilan”.
PAS sebelum ini menyokong usaha Umno Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri baru melalui penarikan sokongan terhadap kerajaan gabungan pimpinan PH.
Sepucuk surat daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kepada Abdul Hadi yang menyentuh pertikaian dalaman PN mendedahkan bahawa pertemuan antara anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PN dan Umno negeri berlangsung beberapa hari sebelum Umno melakukan gerakan mengejut itu.
Pada 7 Jun lalu, Presiden MIPP, P Punithan, mengesahkan parti itu ada menerima pelawaan rasmi untuk menyertai BN, namun belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Undi BN-PN cecah 59.9 peratus
Sekiranya rundingan antara Umno dengan parti-parti seperti PAS dan MIPP membuahkan hasil, ia dijangka memberi kelebihan besar kepada BN untuk mencetuskan gelombang sekatan terhadap PH, menyamai momentum PRN Johor sebelum ini.
Walaupun BN tidak bertanding di semua kerusi dalam PRN Negeri Sembilan pada 2023, data menunjukkan gabungan undi BN dan PN mencecah 59.9 peratus.
Sementara dalam pilihan raya umum (PRU) November 2022, ketika BN bertanding di semua kerusi, unjuran gabungan undi mereka adalah sebanyak 54 peratus.
PN sebelum ini menikmati lonjakan sokongan di Negeri Sembilan, yang dipercayai berpunca daripada protes penyokong tegar BN yang tidak bersetuju dengan kerjasama tegar antara BN dan PH di peringkat pusat.
Bagaimanapun, prestasi PN kali ini masih menjadi tanda tanya ekoran tindakan PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
