Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengemukakan hujah perlembagaan sebagai alasan mengapa dia masih memegang jawatan exco Melaka walaupun pernah berjanji untuk meletakkan jawatan.
Dalam satu video di media sosial malam tadi, Akmal berkata dia sudah mengemukakan peletakan jawatannya pada 19 Jan lalu serta menghantar surat kepada Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh dan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.
"Tapi tak diperkenankan TYT, jadi dalam Undang-undang Tubuh Negeri Melaka kalau tak diperkenan dengan TYT kamu nak buat apa," katanya.
Dia menambah, dirinya tidak seperti DAP yang sanggup menentang titah sultan — merujuk pertelingkahan parti itu dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tafsiran Akmal kurang tepat
Bagaimanapun, tafsiran Akmal mengenai Perlembagaan Negeri Melaka dilihat tidak tepat.
Tiada peruntukan dalam undang-undang tertinggi negeri itu yang membolehkan Yang di-Pertua Negeri atau ketua menteri menolak peletakan jawatan seseorang exco.
Walaupun Fasal 7(6) menyatakan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertua Negeri, peruntukan itu bukan bertujuan membolehkan peletakan jawatan ditolak.

Sebaliknya, fasal itu secara khusus menyatakan seseorang exco boleh dipecat oleh Yang di-Pertua Negeri atas nasihat ketua menteri.
Lebih relevan dalam kes Akmal, Fasal 7(6) turut menyatakan dengan jelas:
"Tertakluk kepada Fasal (4), seseorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain daripada Ketua Menteri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri, melainkan jika pelantikan mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan telah dibatalkan oleh Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Ketua Menteri tetapi mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa."
Selain itu, bertentangan dengan dakwaan Akmal, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri yang mewajibkan seseorang mematuhi Yang di-Pertua Negeri dalam perkara tersebut.

Sebaliknya, seperti perlembagaan lain di Malaysia, Fasal 8(1) Perlembagaan Negeri Melaka menyatakan Yang di-Pertua Negeri hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau mana-mana anggotanya — kecuali dalam perkara tertentu yang boleh diputuskan mengikut budi bicaranya.
Kuasa budi bicara itu terhad kepada pelantikan ketua menteri berdasarkan individu yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri serta penolakan persetujuan terhadap pembubaran awal DUN.
Bagaimanapun, sebagai ketua negeri dan anggota Majlis Raja-Raja, terdapat kelaziman budaya yang menghendaki Yang di-Pertua Negeri diberikan penghormatan dan layanan penuh takzim.
Akmal pertama kali mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Melaka pada Januari lalu dengan berkata langkah itu membolehkannya berjuang habis-habisan menentang DAP, yang ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Isu tersebut terus membayangi Akmal dan kembali mendapat perhatian baru-baru ini selepas dia mendesak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meletakkan jawatan susulan kekalahan Pakatan Harapan dalam PRN Johor.
Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong turut menyindir kegagalan Akmal meletakkan jawatan semalam selepas parti itu keluar daripada kerajaan negeri, sekali gus mendorong ketua Pemuda Umno itu memuat naik video berkenaan malam tadi.
Sementara itu, dalam video berasingan yang dimuat naik pagi ini, Akmal turut membidas DAP Melaka kerana keluar daripada kerajaan negeri susulan penggubalan undang-undang baru negeri bagi melantik anggota DUN.
Dia menyifatkan tindakan DAP itu sebagai hipokrit dengan merujuk kepada Pengerusi PH Melaka Adly Zahari yang sebelum ini mencadangkan pelantikan Adun sebagai syarat kerjasama PH-BN dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menurut laporan FMT, Adly membuat kenyataan itu pada April lalu.
Akmal turut membangkitkan bahawa tiga Adun DAP Pahang pada 2024 mengundi untuk meluluskan pelantikan lima anggota DUN, termasuk seorang pemimpin PKR.
