Barisan Nasional (BN) memperuntukkan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada MCA manakala empat kerusi diserahkan kepada MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata formula pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen itu dibuat dengan mengambil kira unjuran potensi kemenangan calon di kawasan masing-masing.
"Tadi saya berjumpa dengan semua bakal calon yang menandatangani aku janji dan juga melakukan baiah dengan saya selaku Pengerusi BN.
“Ini lazim dilakukan setiap PRN ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bakal calon-calon BN di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, dijadual mengumumkan senarai calon BN di perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di Seremban malam ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian 1 Ogos.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, BN memenangi 14 kerusi manakala Pakatan Harapan 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
- Bernama
