Bersatu mengumumkan akan meletakkan calon-calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa proses rundingan kerusi PN gagal dimuktamadkan susulan tindakan PAS mengadakan rundingan politik dengan BN.
Perkara itu diumumkan Presidennya, Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang berlangsung di Petaling Jaya malam ini.
Menurutnya, penangguhan itu berlaku kerana PAS mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan BN, sedangkan perkara berkenaan sepatutnya terlebih dahulu dibincangkan dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN.
“Oleh kerana Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional telah ditangguhkan bagi tempoh masa yang tidak pasti, dan Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN, Bersatu akan meletakkan calon-calon Bersatu bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon Bersatu akan menggunakan simbol Bersatu,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu akan mengumumkan calon-calonnya esok bersama komponen PN yang lain, Muhyiddin berkata keputusan mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi akan dibuat esok, manakala pengumuman calon dijangka dibuat pada Jumaat.

Dia turut enggan mengesahkan sama ada Bersatu akan bertanding menentang PAS dan Parti Wawasan di kerusi yang tidak ditandingi BN, atau sebaliknya.
Terdahulu, Muhyiddin berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah membuat keputusan tersebut selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Perikatan Nasional yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai, ditangguhkan tanpa tempoh masa yang pasti.
Dia berkata Bersatu juga tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi selepas mesyuarat itu ditangguhkan.
Muhyiddin menyalahkan tindakan PAS yang didakwanya mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan parti-parti komponen PN yang lain atau mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi PN.
"Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan keputusan- keputusan unilateral PAS yang bertentangan dengan kepentingan PN.
"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan PAS untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN dan jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH," katanya.
Dia turut menyasarkan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan menegaskan bahawa kegagalan pengerusi gabungan itu memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi pada saat genting ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan PN.
Dalam perkembangan yang lain, Muhyiddin berkata Bersatu menerima permohonan daripada beberapa parti politik yang ingin bertanding menggunakan logo parti itu.
Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah memberikan mandat kepadanya selaku Presiden parti untuk memberi kebenaran kepada calon daripada parti-parti lain menggunakan logo tersebut.
Terdahulu, spekulasi mengenai rundingan sulit PAS semakin hangat selepas BN hanya mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Negeri Sembilan.
