Argentina bangkit daripada ketinggalan untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan England 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Atlanta, Amerika Syarikat pada Rabu.
Penyerang Lautaro Martinez muncul wira buat skuad La Albiceleste apabila tandukannya pada masa kecederaan babak kedua memastikan skuad kendalian Lionel Scaloni mara untuk mempertahankan gelaran menentang juara 2010, Sepanyol di Stadium New York/New Jersey pada Ahad.
Aksi separuh masa pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dalam perlawanan yang keras dan kerap terhenti, selain bergelut untuk mencipta peluang terbaik sehingga minit ke-36.

Peluang terbaik England hadir menerusi Reece James yang melakukan sepakan percuma dari sebelah kiri, namun penjaga gol Argentina Emiliano Martinez bertindak cemerlang untuk menepis percubaan pertahanan kanan Chelsea itu.
Argentina memberikan respons dua minit kemudian menerusi pemain tengah Enzo Fernandez, namun rembatan jarak jauhnya melepasi palang gol, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Argentina meneruskan asakan sejurus babak kedua bersambung apabila penyerang Julian Alvarez memaksa penjaga gol England Jordan Pickford melakukan satu aksi menyelamat yang menarik pada minit ke-47.
Selepas berjaya menyerap tekanan berterusan daripada Argentina, England membuka jaringan pada minit ke-54 apabila pemain sayap Anthony Gordon melakukan larian tepat pada masanya sebelum menyudahkan hantaran lintang Morgan Rogers dari sebelah kanan.

Juara tiga kali itu hampir menyamakan kedudukan apabila pemain gantian Nico Gonzalez menanduk masuk hantaran lencong yang menarik daripada kapten Lionel Messi ke dalam kawasan penalti, namun Pickford sekali lagi bertindak cemerlang untuk memastikan England terus mendahului pada minit ke-69.
Skuad The Three Lions terselamat daripada detik cemas pada minit ke-75 apabila tandukan Alexis Mac Allister terkena tiang di sebelah kanan Pickford sebelum percubaan susulan pemain tengah itu berjaya dinafikan penjaga gol berkenaan seminit kemudian.
Tekanan berterusan Argentina akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 apabila Enzo Fernandez melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan.
Argentina masih belum berpuas hati apabila percubaan Mac Allister terkena tiang pada minit kedua masa kecederaan sebelum Martinez menanduk masuk dengan penuh bertenaga beberapa minit kemudian bagi melengkapkan kebangkitan dramatik dan memusnahkan harapan England.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel terpaksa berpuas hati beraksi pada perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Perancis di Stadium Miami, Amerika Syarikat pada Sabtu ini, selepas juara dua kali itu tewas 0-2 kepada Sepanyol dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Selasa.
- Bernama
