Tiga laporan polis dibuat selepas beberapa bahagian Sungai Perak berhampiran Gerik, Perak, sekali lagi bertukar warna biru kehijauan, dengan nelayan sungai melaporkan kejadian ikan mati.
Kejadian itu berlaku kurang empat minggu selepas sebuah agensi negeri mendapati sebuah lombong bijih timah yang dibenarkan melepaskan air buangan sudah memenuhi piawaian kualiti alam sekitar.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak Nizarulikram Abdul Rahim berkata Majlis Kualiti Alam Sekitar Negeri (EQC) berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan lombong terbabit bagi merawat air buangan yang dilepaskan ke dalam sistem sungai.
Menurut Nizarulikram, pengendali lombong itu membina sistem rawatan luar sungai (ORT) baru bagi menguruskan pelepasan air buanganya dan sistem tersebut terus memenuhi piawaian pelepasan.

Kejadian terbaru itu berlaku kira-kira enam bulan selepas tiga pengendali lombong di Hulu Perak menyambung semula operasi susulan penggantungan berhubung kejadian pencemaran sama pada Oktober lalu.
Ketika itu, Johari Abdul Ghani yang memangku jawatan menteri sumber asli memberitahu sidang Kamar Khas Dewan Rakyat bahawa bacaan radiasi di salah sebuah lombong yang digantung operasinya melebihi had dibenarkan.
‘Bukan dari lombong’
Nizarulikram memberitahu Malaysiakini bahawa lombong bijih timah yang melepaskan air buangan terawat ke dalam anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak bukan punca sungai itu berubah warna pada Sabtu, 11 Julai.

“Jabatan sudah menjalankan pemeriksaan di lombong itu, (pencemaran) bukan dari lombong,” katanya menerusi WhatsApp.
“Kematian ikan boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kadar kekeruhan yang tinggi di Sungai Rui akibat pembersihan tanah untuk perladangan, pembalakan dan pengambilan pasir.
"Aktiviti di hulu ini berada di luar bidang kuasa jabatan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai dua lagi operasi perlombongan di sepanjang anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak, Nizarulikram tidak memberikan penjelasan lanjut.

Dalam laporan polis yang dibuat pada 11 Julai, nelayan sungai Mustakim Osman berkata dia melihat air Sungai Perak bertukar warna biru kehijauan.
“Daripada pemerhatian saya, saya mendapati pelbagai bahan berminyak terapung di permukaan sungai,” katanya pada laporan polis yang dilihat Malaysiakini.
Laporan Mustakim merupakan satu daripada tiga laporan yang dibuat secara berasingan di Balai Polis Gerik. Dua lagi pengadu merupakan peniaga ikan air tawar Sharel Kassim dan pemandu pelancong Abdul Halim Abdullah Hamid.
Ketiga-tiga pengadu menggesa pihak berkuasa segera menyiasat punca pencemaran, mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah itu.
Sistem baru rawat air buangan lombong
Pada Oktober lalu, ketika sungai itu bertukar warna biru, operasi sebuah lombong unsur nadir bumi dan dua lombong bijih timah di Hulu Perak, di timur laut negeri itu, digantung.
Lombong berkenaan dibenarkan menyambung semula operasi selepas mengambil langkah pemulihan, manakala salah sebuah lombong memasang sistem ORT bagi merawat efluennya, kata Nizarulikram.
Pada 16 Jun, Nizarulikram mengumumkan menerusi hantaran di Facebook bahawa langkah pemulihan yang dilaksanakan pengendali lombong berkenaan mendapat kepuasan EQC.

Sumber yang mengetahui perkara itu serta hantaran Facebook Nizarulikram sendiri menunjukkan EQC diberikan taklimat mengenai sistem ORT yang dilaksanakan salah sebuah lombong terbabit.
Menjelaskan sistem baru itu, Nizarulikram memberitahu Malaysiakini: “Susulan syor pasukan petugas pelbagai agensi, amalan terdahulu merawat air buangan dengan dos kapur secara terus di dalam sungai dihentikan.
“Sistem ORT membabitkan pembinaan beberapa kolam takungan efluen (air buangan) bagi memastikan efluen akhir hanya mengandungi kesan logam pada kadar yang amat rendah.
“Efluen akhir melalui sistem rawatan air inovatif yang menggunakan dos kapur.

“Ini diikuti penggunaan flokulan bagi memendakkan baki logam terlarut,” katanya menjelaskan proses menukarkan baki logam dalam air kepada mendapan pepejal supaya dapat disingkirkan.
Flokulan merupakan bahan kimia tambahan yang menggalakkan zarah bergumpal.
Nizarulikram berkata air jernih yang terhasil dan dilepaskan dari kolam terakhir mesti mematuhi piawaian efluen yang ditetapkan jabatan sebelum memasuki sungai.
Penggunaan kapur dalam sistem ORT itu 70 peratus lebih rendah berbanding kaedah dos kapur secara terus di dalam sungai yang digunakan sebelum ini.

Nizarulikram berkata sebuah kemudahan ORT berhampiran sungai yang mengalir dari lombong bijih timah batuan keras jenis lombong terbuka sudah mula beroperasi.
Kemudahan kedua di bahagian bertentangan dengan kemudahan pertama masih dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada awal Januari tahun depan.
Dia memberi jaminan bahawa analisis terhadap pelepasan terawat dari kemudahan ORT yang sudah beroperasi menunjukkan bacaan air buangan mematuhi keperluan jabatan.
Ketika ditanya jika air sungai berwarna putih susu yang dilihat pada 10 Julai, sebelum bertukar biru kehijauan, berpunca dari kawasan ORT kedua, Nizarulikram berkata pemeriksaan jabatan tidak menunjukkan lombong itu bertanggungjawab.
“Jabatan sudah memeriksa lombong itu. Bidang kuasanya hanya meliputi kawasan dalam pajakan perlombongan.
“Siasatan di luar pajakan dijalankan semata-mata untuk menentukan sekiranya punca pencemaran berasal dari dalam lombong,” tambahnya.
Laporan polis masih tergantung
Polis Gerik memberitahu Malaysiakini bahawa ketiga-tiga laporan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, ketika dihubungi, JPS Gerik berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan, sama ada secara elektronik mahupun melalui pos.
Nizarulikram turut berkata dia tidak mengetahui mengenai laporan polis tersebut.
BACA BERKAITAN:
Radiasi sisa lombong REE Perak yang digantung 13 kali lebih had
Fenomena air biru: Tiga syarikat perlombongan dibenar beroperasi semula
Pencemaran Sg Perak: Air warna biru, ada tiga lombong di hulu - JAS
Air Sg Perak tukar biru: Pasukan petugas ditubuhkan - MB
Bercakap kepada Malaysiakini selepas membuat laporan polis, Mustakim berkata kejadian ikan mati semakin kerap berlaku setiap kali sungai itu berubah warna.
“Ada hari sungai bertukar warna putih susu. Pada waktu lain, kelihatan jalur hijau gelap, air berwarna kelabu gelap dan sering kali berbau busuk,” kata Mustakim.
Nizarulikram berkata jabatan itu mengetahui mengenai aduan penduduk kampung berhubung pencemaran yang berulang kerana pegawainya menyertai kumpulan WhatsApp penduduk Hulu Perak bagi mengikuti perkembangan dalam sistem sungai tersebut.
Sharel melaporkan menemui ikan mati terapung di sepanjang sungai manakala pemandu pelancong Halim berkata dia melihat air sungai bertukar warna biru kehijauan di jambatan Kampung Sungai Papan yang merentasi Sungai Perak.
Rakaman video yang dibuat nelayan pada 11 Julai dan dikongsi dengan Malaysiakini menunjukkan banyak ikan mati terapung di sepanjang bahagian sungai yang terjejas.
Amaran arsenik
Bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia Maketab Mohamed (gambar bawah) berkata warna sungai itu “kemungkinan besar disebabkan tembaga”.
“Namun, dari segi ketoksikan, perkara yang membimbangkan ialah arsenik,” kata Maketab, bekas pengarah keselamatan, kesihatan pekerjaan dan alam sekitar yang pernah melawat beberapa lokasi di sepanjang sungai itu kepada Malaysiakini.

Dia berkata sebatian tembaga boleh menjelaskan warna sungai yang begitu ketara, tetapi arsenik menimbulkan kebimbangan lebih besar kerana pendedahan berpanjangan dikaitkan dengan kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan gangguan neurologi.
Dia berkata kebimbangan mengenai arsenik bukan perkara baru.
Pada 2019, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara mengarahkan Loji Rawatan Air Air Ganda berhampiran Lenggong, Perak, ditutup selepas arsenik ditemukan dalam air sungai yang menjadi sumber bekalan loji tersebut.
Pencemaran itu menjejaskan lebih 1,500 penduduk.
