Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke: DAP tak akan keluar PH, solo tak mampu pergi jauh
Diterbitkan:  Jul 17, 2026 2:28 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan parti itu tidak akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan akan kekal bersama gabungan berkenaan sehingga tamat tempoh pentadbiran kerajaan perpaduan.

Loke dipetik wawancara Channel NewsAsia (CNA) berkata DAP tidak akan mampu pergi jauh secara bersendirian, sambil menambah satu-satunya jalan untuk parti itu bertanding sendiri adalah dengan menjadi sebahagian daripada pembangkang.

“Dalam konteks politik Malaysia, saya tidak fikir DAP boleh pergi jauh jika kami bergerak secara solo.

“Anda hanya boleh memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Anda tidak boleh menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara. Anda tidak boleh terlibat dalam proses tadbir urus.

"Jika kita benar-benar mahu membawa perubahan kepada kerajaan dan masyarakat, anda perlu berada dalam kedudukan kuasa...

"Saya seorang yang percaya kepada politik gabungan,” kata Loke seperti dilaporkan.

Loke mendakwa jika DAP bertindak keluar daripada PH, ia hanya akan memenuhi kehendak lawan politik yang “tidak mahu DAP berada dalam kerajaan”.

Pada Disember tahun lalu, Loke mengumumkan DAP akan menilai semula peranannya dalam kerajaan jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan, yang berakhir bulan lalu.

Loke berkata sepanjang tempoh tersebut, kerajaan perlu menunjukkan perubahan nyata dan menawarkan harapan bagi mengubah persepsi negatif masyarakat.

Bagaimanapun, dia segera menegaskan perkara itu tidak bermakna DAP — yang memiliki jumlah kerusi parlimen terbanyak dalam kerajaan — akan menarik balik sokongannya terhadap pentadbiran Madani sehingga mencetuskan kemelut politik.

Walaupun Loke tidak memberikan perincian, penilaian semula itu mungkin termasuk DAP menarik diri daripada kabinet dan berpindah ke blok penyokong kerajaan.

Kenyataan itu dibuat selepas kekalahan teruk DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 Nov apabila kesemua lapan calonnya tewas.

Sebagai tindak balas, kepimpinan pusat parti itu mengadakan mesyuarat tergempar dan berikrar mempercepat reformasi bagi mendapatkan semula keyakinan masyarakat selepas pengkritik menuduh parti yang dahulunya lantang ketika menjadi pembangkang kehilangan suara selepas memperoleh kuasa di peringkat persekutuan.

Sebagai sebahagian daripada ikrar reformasinya selepas kekalahan di Sabah, DAP turut mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Loke memberitahu CNA bahawa meskipun DAP “lantang” dalam isu tertentu, sebahagian penyokongnya merasakan parti itu masih tidak cukup bersuara.

“Selepas menjadi kerajaan, saya sering mengingatkan mereka bahawa dalam kerajaan, apa yang penting adalah pelaksanaan," katanya.

"Ia bukan tentang seberapa kuat anda menjerit, tetapi seberapa banyak yang boleh anda lakukan dalam kekangan politik gabungan dan dalam kekangan kerajaan."

Loke berkata di bawah kepimpinan Anwar, pertumbuhan ekonomi kekal konsisten pada kadar kira-kira lima peratus setahun, manakala kedudukan Malaysia di pentas global turut meningkat.

Bagaimanapun, dia berkata ahli politik mengetahui usaha sedemikian tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan di peringkat akar umbi kerana kesannya mungkin tidak sentiasa dirasai masyarakat.

Loke berkata kerajaan perlu mengharungi cabaran mengekalkan kestabilan sambil meneruskan agenda reformasi, dengan memberikan contoh usaha yang masih tergendala untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun serta memisahkan peranan peguam negara daripada pendakwa raya.

Pada 14 Julai, rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang bagi bacaan kali kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan mahu memaklumkan terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja mengenai pindaan yang dicadangkan.

Rang undang-undang yang sudah lama dinantikan itu pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Feb sebelum dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk penelitian lanjut susulan kebimbangan mengenai kelemahan strukturnya.

"Sudah tentu, dari sudut pandangan DAP, kami pastinya berharap agar rentak reformasi dapat berjalan lebih pantas.

"Namun realitinya ialah ada pihak yang cuba menyekat reformasi tersebut," kata Loke.

Loke berkata matlamat dan cita-cita DAP sangat mudah, iaitu memastikan Malaysia kekal sebagai masyarakat berbilang budaya, agama dan bersifat inklusif.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS