Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022 menyaksikan terbentuknya Kerajaan Perpaduan kerana tiada mana-mana pihak mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Tidak pernah saya menyangka bahawa Barisan Nasional, yang sekian lama menjadi musuh politik kita, khususnya Pakatan Harapan, akan bersama-sama membentuk kerajaan atas nama perpaduan. Apatah lagi saya sendiri sebelum ini pernah berada dalam Parti Islam Se-Malaysia atau PAS.
Saya sendiri tertanya-tanya, bagaimana hendak berhadapan dan bekerjasama dengan Umno yang telah begitu lama menjadi musuh politik saya? Namun, perubahan dalam pemikiran dan tindakan perlu dilakukan.
Ujian pertama yang Allah Taala berikan ialah Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram apabila Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggalkan kita.

Saya kagum dan teruja dengan kerjasama yang diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional. Kita berkempen bersama, makan bersama dan berjalan bersama-sama untuk memenangkan calon Pakatan Harapan serta Kerajaan Perpaduan di Simpang Jeram dan Pulai.
Kemudian, berlaku lagi beberapa pilihan raya kecil selepas itu. Hubungan dalam Kerajaan Perpaduan semakin erat. Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, kita bersama-sama turun bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon Umno dan Barisan Nasional di Pelangai, Pahang.
Diikuti dengan Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu yang ditandingi calon DAP. Kita menyaksikan buat pertama kalinya pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional turun membantu memenangkan calon DAP.
Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap juga begitu. Walaupun Pakatan Harapan kalah, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tetap erat.
Apabila tiba Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri yang ditandingi calon Umno dan Barisan Nasional, kita daripada Pakatan Harapan turun bersama-sama dan berhempas pulas sehingga kerusi DUN itu berjaya dirampas serta dimenangi oleh Umno dan Barisan Nasional, mewakili Kerajaan Perpaduan.

Begitulah juga dalam Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota. Pada peringkat awal, terdapat sedikit perselisihan tentang siapa yang layak bertanding dan parti mana yang patut meletakkan calon. Akhirnya, Umno dan Barisan Nasional bertanding, manakala Pakatan Harapan bekerja keras sehingga calon Kerajaan Perpaduan memperoleh majoriti yang cukup besar.
Kemudian diikuti pula dengan Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning. Sekali lagi, calon Umno dan Barisan Nasional bertanding. Pakatan Harapan bekerja keras bersama-sama Barisan Nasional untuk memenangkan calon Umno dan Barisan Nasional.
Begitulah eratnya perpaduan yang telah dibentuk. Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu.
Tetapi kini, persoalan apakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila Barisan Nasional Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian?

Pertama, sebaik sahaja DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026, Barisan Nasional mengisytiharkan bahawa mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi secara solo.
Kemudian diikuti pula dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan. Paling mengejutkan, 14 Adun Umno dan Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan Adun pembangkang, termasuk PAS, untuk mengambil alih kerajaan negeri.
Menuju hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, kerjasama antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional semakin jelas apabila mereka saling melengkapi 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.
Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.
Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?
Wallahu a‘lam.
MOHAMAD SABU Presiden Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
