Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke puji strategi teratur BN di Johor, tawar kempen 'harapan' di NS
Diterbitkan:  Jul 17, 2026 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

DAP memuji jentera pilihan raya BN atas prestasi cemerlang mereka di Johor, dan pada masa sama parti itu merangka "kempen harapan" untuk PH bagi memghadapi PRN Negeri Sembilan yang akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyifatkan kempen BN di Johor sebagai "sangat teratur", dengan "mesej yang sangat jelas" dan terpusat kepada menteri besar sementara, Onn Hafiz Ghazi, yang wajahnya dipaparkan secara menonjol di seluruh negeri.

Untuk Negeri Sembilan, kata Loke, PH akan mengguna pakai kempen positif melalui menteri besar sementara, Aminuddin Harun, dengan memberi tumpuan kepada pencapaian mereka dalam kerajaan dan apa yang ingin ditawarkan kepada rakyat.

"Saya sendiri akan memantau kempen dan naratif tersebut. Saya mahu menjalankan... kempen harapan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik," katanya dalam satu temu bual dengan CNA baru-baru ini.

Loke berkata dia sedar pihak lawan mungkin cuba meletakkan PH dalam kedudukan bertahan dengan menggambarkan DAP sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam dan kedudukan raja-raja Melayu.

Namun Ahli Parlimen Seremban dan penyandang kerusi DUN Chennah itu menegaskan serangan sedemikian tidak akan menjejaskan sokongan terhadap DAP di kawasan yang ditandinginya.

Pada masa sama dia mengakui perkara itu boleh memberi kesan kepada parti komponen PH yang bertanding di kerusi majoriti Melayu.

“Kebanyakan kami (DAP) bertanding di kerusi majoriti bukan Melayu," katanya.

Kekalkan tahap profesionalisme

Pada 15 Julai, Pengerusi PH Anwar Ibrahim, mengumumkan 36 calon gabungan itu untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 Ogos.

Loke akan mempertahankan kerusi DUN Chennah, manakala Aminuddin – yang digelar sebagai "poster boy" PH oleh pengarah pilihan raya gabungan itu, Amirudin Shari – akan bertanding di kawasan DUN Linggi.

Loke memegang kerusi Chennah sejak 2013, iaitu ketika PAS dan DAP masih lagi sekutu, dan memenangi kerusi itu buat kali pertama dengan 56 peratus undi.

Sebelum pengumuman tersebut, Malaysiakini melaporkan bahawa Aminuddin akan berpindah dari kerusi Sikamat untuk bertanding di Linggi.

"Adalah satu pembohongan untuk mengatakan tiada sebarang kesan langsung, tetapi kita harus kekal profesional," kata Loke ketika ditanya sama ada pertembungan menentang BN di Johor dan Negeri Sembilan akan menjejaskan hubungan kedua-dua gabungan di peringkat persekutuan.

Tambah Loke, DAP masih menghadiri mesyuarat kabinet seperti biasa, malah ketika ditemu bual, menteri pengangkutan itu memberitahu dia duduk di antara Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan timbalannya Mohamad Hasan.

Gambar fail

“Kami cuba mengekalkannya (hubungan di peringkat pusat) secara seprofesional mungkin untuk memastikan kerajaan terus utuh," katanya.

Tambah Loke, Ahmad Zahid juga telah berikrar untuk menyokong kerajaan perpaduan sehingga tamat penggalnya, tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri tersebut.

"Sama ada kami akan menghadapi pilihan raya umum akan datang sebagai blok perpaduan atau sebagai gabungan berasingan, sudah tentu ia adalah perkara yang akan diputuskan oleh gabungan masing-masing apabila parlimen dibubarkan nanti," katanya lagi.

Mengenai persaingan di kerusi Chennah, Loke menjangkakan "persaingan yang sangat sengit" daripada BN, terutamanya komponen mewakili komuniti Cina parti itu, MCA.

"Kawasan saya adalah kerusi campuran, jadi saya perlu meraih sokongan daripada pengundi Cina... serta pengundi Muslim kita," katanya.

Dia turut mengakui prestasi DAP di Johor menimbulkan kebimbangan, namun menegaskan ia adalah sebahagian daripada pasang surut politik dan tidak membawa maksud "penolakan sepenuhnya" oleh pengundi.

"Jika kamu melihat bahagian undi kami, ia meningkat berbanding pilihan raya lalu. Walaupun peratusannya tidak sama seperti BN, ia tetap menunjukkan peningkatan," tambahnya.

Di Negeri Sembilan, Loke berkata DAP tidak mahu melibatkan atau mengheret institusi diraja ke dalam kancah politik.

"Krisis diraja di Negeri Sembilan mesti diselesaikan dalam institusi diraja itu sendiri berdasarkan adat dan undang-undang institusi tersebut," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS