Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan BN dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) melangkaui nilai sebuah "perkahwinan".

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Marang itu, soal kerjasama dengan BN masih belum dimuktamadkan lagi dan akan melihat kepada situasi semasa.

"Kita tidak gopoh, lihat perkembangan semasa. Semangat baik, terutama kerjasama dengan Umno-BN. Yang penting kita nak memastikan kuasa Melayu Islam memimpin Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Jempol hari ini.

"Dia lebih daripada kahwin, (iaitu) persahabatan dan persaudaraan," tambah Hadi ketika ditanya mengenai kritikan pihak yang menganggap kerjasama PN-BN sebagai “kahwin campur.”

PN dan BN dilihat mula menjalinkan kerjasama, meski secara tidak rasmi, dalam PRN Johor apabila PAS mengarahkan pengundinya supaya menyokong calon BN di kawasan tidak ditandingi PN.

PAS tewas kesemua kerusi ditandingi dalam PRN Johor, sementara BN berjaya menang besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut Hadi berkata, BN dan PN akan saling membantu dalam PRN Negeri Sembilan ini.

Sementara itu ditanya mengenai kritikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa PN kini sudah menjadi gabungan toksik, Hadi menepis tanggapan itu.

Sebaliknya kata Hadi, PN tidak pernah meminggirkan Bersatu.

"Itu tidak benar. Apa yang berlaku adalah salah laku Bersatu," tambahnya.

Semalam ketika memperkenalkan calon PN di Nilai, Muhyiddin menyifatkan PN kini merupakan parti toksik selepas dipimpin PAS.

Muhyiddin mendakwa PN yang diasaskannya kini sudah tergelincir daripada asas perjuangan asal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS