Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Minta pemimpin anda pulangkan mandat rakyat - Razlan jawab Pemuda PH
Diterbitkan:  Jul 19, 2026 3:26 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno mengulas desakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) agar menteri dan timbalan menteri BN meletak jawatan selepas gabungan itu menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya (PRN) Negeri Sembilan.

Razlan Rafii berkata PH seharusnya memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan semula kerajaan pilihan mereka.

"Apa perlu desak mendesak, PH bukan mendapat mandat rakyat pada PRU yang lepas.

"Kerajaan ini bukan hak milik PH, elok cermin diri dari mana punya anda semua menikmati kuasa.

"Masalah yang paling besar sebagai manusia apabila mendapat kuasa, mereka lupa akan punca kuasa itu dari mana.

"Jadi, cadangkan sahaja kepada kepimpinan anda… pulangkan semula mandat ini kepada rakyat. Biar rakyat menentukan, ini negara demokrasi," kata Razlan.

Terdahulu, Pemuda PH berkata keputusan BN untuk bekerjasama dengan PN menunjukkan mereka tidak bersyukur atas jawatan yang diberikan kepada mereka oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka memetik kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa pakatan Negeri Sembilan merupakan ujian perpaduan Melayu untuk kerjasama masa depan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-16.

Pakatan BN-PN di peringkat persekutuan boleh menggugat PH. Sebanyak 31 daripada 79 kerusi yang dimenangi oleh DAP, PKR dan Amanah dalam PRU yang lalu dimenangi dengan kurang daripada 50 peratus undi, terutamanya disebabkan oleh BN dan PN yang memecahbelahkan undi Melayu.

‘Desakan janggal’

Sementara itu Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Sulaiman berkata desakan Pemuda PH itu agak janggal dan keterlaluan.

Dia juga menyifatkan PH begitu gelisah di Putrajaya sedangkan kerjasama PN-BN setakat ini hanya terhad kepada ‘persefahaman’ PRN Negeri Sembilan.

“Mengapa ketika BN-PH bertembung di 56 kerusi dalam PRN Johor, desakan ini tidak timbul?

“PH tidak wajar mencampuri, apatah lagi cuba menentukan pendirian politik Umno-BN, yang merupakan sekutu terkuat dalam kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bachok itu, Pemuda PH sepatutnhya mendesak exco PH di Perak dan Pahang meletakkan jawatan terlebih dahulu.

“Tindakan DAP Melaka wajar dijadikan contoh. Persefahaman PN-BN di Negeri Sembilan bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi, memperkukuh penyatuan ummah dan menawarkan alternatif kepada kegagalan pentadbiran PH,” katanya.

Peringatan Anwar

Dalam perkembangan sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada menteri, timbalan menteri dan ketua agensi persekutuan yang terlibat dalam PRN Negeri Sembilan supaya tidak saling menyerang antara satu sama lain.

Menurutnya, mereka boleh bertanding dengan membawa isu negeri, namun perlu meletakkan jawatan sekiranya mahu mula menyerang rakan dalam kerajaan persekutuan.

“Dalam perbincangan saya dengan (Timbalan Perdana Menteri) Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, kami mengingatkan calon, khususnya mereka yang memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri atau ketua agensi kerajaan, bahawa mereka boleh bertanding dengan mengetengahkan isu berkaitan negeri.

“Tetapi di peringkat persekutuan, jika mereka memegang jawatan, mereka tidak boleh menggunakannya sebagai platform politik untuk menyerang atau bercanggah antara satu sama lain kerana mereka juga perlu menjaga disiplin,” katanya seperti dipetik NST, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS