Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jaringan Torres benam Argentina, Sepanyol julang Piala Dunia 2026
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 5:15 AM
Dikemaskini: Jul 20, 2026 2:56 AM

Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 selepas menewaskan juara bertahan Argentina 1-0 dalam aksi final berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey, Amerika Syarikat pada Ahad.

Jaringan tunggal perlawanan Ferran Torres pada perlawanan masa tambahan minit ke-106 untuk memastikan skuad La Roja meraih gelaran dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak negara itu.

Perlawanan bermula dengan tempo tinggi apabila kedua-dua pasukan saling menguji kekuatan sejak wisel permulaan.

Sepanyol lebih menguasai permainan apabila mencipta tiga percubaan tepat ke arah gawang La Albiceleste pada babak pertama, namun gagal memecahkan kebuntuan.

Argentina pula lebih banyak menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas pantas.

Ketangkasan benteng pertahanan dan aksi cemerlang penjaga gol kedua-dua pasukan memastikan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, Sepanyol terus mendominasi permainan, namun penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, cemerlang menafikan hampir setiap percubaan pemain Sepanyol.

Argentina tempang di penghujung separuh masa kedua apabila Enzo Fernandez dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap pemain pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi.

Peluang terbaik Sepanyol untuk menamatkan perlawanan pada masa kecederaan turut disia-siakan apabila sepakan percuma Lamine Yamal berjaya ditepis Martinez, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Gol yang dinanti-nantikan akhirnya hadir pada minit ke-106 apabila hantaran Yamal ke dalam kotak penalti disambut Nico Williams sebelum Torres menyempurnakan gerakan itu dengan rembatan padu untuk menewaskan Martinez.

Jaringan berkenaan sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Sepanyol, sekali gus menamatkan penantian mereka untuk kembali menjulang trofi Piala Dunia selepas kejayaan bersejarah pada edisi 2010 di Afrika Selatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS