Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno janji tetap pegang ikrar dukung kerajaan perpaduan
Diterbitkan:  Jul 20, 2026 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM
1

Umno – yang menjadi tulang belakang BN – hari ini menegaskan sekali lagi komitmen mereka untuk terus berpegang pada janji mendukung kerajaan perpaduan semasa di sebalik pertembungan kian hangat dengan PH.

Ia diikrarkan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga Pengerusi Mara.

Penegasan Asyraf Wajdi itu hadir ketika wujud gesaan Pemuda PH supaya menteri dan timbalan menteri BN meletakkan jawatan dalam kerajaan susulan pertembungan dalam PRN Negeri Sembilan.

BN juga secara terbuka mengakui mereka bekerjasama dengan PN – yang didominasi PAS – bagi menghadapi PH.

“BN tetap berpegang kepada perjanjian yang dibentuk atas titah Tuanku Agong pada 23 Nov 2022 untuk bekerjasama mendukung kerajaan perpaduan hingga ke pilihan raya umum.

“Sebagaimana di Johor, apabila PRN Negeri Sembilan diadakan, BN berhak menentukan apa jua bentuk kerjasama politik di peringkat negeri,” katanya dalam satu hantaran di Thread.

Asyraf Wajdi berkata demikian sebagai membalas luahan seorang pengguna media sosial tersebut yang menyatakan rasa kecewanya susulan kerjasama BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan.

Sebelum ini BN dilihat sudah mencapai persefahaman dengan PAS di PRN Johor namun ia tidak diakui secara rasmi atau terbuka.

Pun begitu PAS sebaliknya secara terang-terangan memberitahu orang ramai bahawa mereka sedia “menampung” sebarang kekurangan Umno-BN dalam PRN tersebut atas alasan mahu mengekalkan kerajaan negeri yang ditadbir Melayu Islam.

PAS turut mengarahkan penyokong mereka memenangkan semua calon BN di Johor, termasuk di kawasan yang diwakili MCA dan MIC.

Ekoran kerjasama yang dibentuk itu – dan dilihat boleh mengancam pengaruh PH di Negeri Sembilan – sayap parti gabungan tersebut mendesak semua menteri dan timbalan menteri BN meletakkan jawatan masing-masing.

Pemuda PH berkata tindakan BN bekerjasama dengan PN menunjukkan gabungan berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada pemimpinnya dalam kerajaan.

“Malahan, mereka lebih cenderung kepada percaturan politik sempit demi kepentingan jangka pendek.

“Kami menempelak kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan secara terbuka bahawa sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri merupakan medan uji formula dan berpotensi diterjemahkan kepada skala nasional menjelang PRU ke-16,” katanya dalam kenyataan semalam.

Anwar pada hari sama turut tampil memberi peringatan kepada menteri, timbalan menteri dan ketua agensi persekutuan yang terlibat dalam PRN Negeri Sembilan supaya tidak saling menyerang antara satu sama lain.

Menurutnya, mereka boleh bertanding dengan membawa isu negeri, namun perlu meletakkan jawatan sekiranya mahu mula menyerang rakan dalam kerajaan persekutuan.

Asyraf Wajdi berkata apa yang penting ketika ini adalah pelaksanaan kempen secara berhemah dan fokus kepada tawaran yang mampu diberikan untuk rakyat.

“Jangan ulangi apa yang berlaku di Johor, serangan peribadi dan fitnah kononnya menang besar di Johor, Najib (Razak) bebas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS