Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad membidas Datuk Bandar New York Zohran Mamdani selepas dia membayangkan kemungkinan menangkap pemimpin Israel itu semasa sidang kemuncak PBB yang akan datang.
"Mamdani sepatutnya menumpukan perhatian untuk membaiki kerosakan yang berpunca daripada dasarnya di New York," kata pejabat Netanyahu melalui hantaran di akaun X rasminya.

"Sama seperti Karim Khan, Mamdani dilihat mahu mengalihkan perhatian awam daripada kesilapannya sendiri dengan menyerang pemimpin negara Yahudi dan satu-satunya negara demokrasi di Asia Barat."
Menerusi wawancara yang diterbitkan pada Sabtu, Mamdani berkata dia sedang berbincang dengan pasukan undang-undang Bandar Raya New York mengenai sejauh mana kuasa datuk bandar untuk mengarahkan polis menahan pemimpin asing, merujuk kepada Netanyahu.
"Saya percaya Perdana Menteri Netanyahu sepatutnya dihantar ke The Hague," kata Mamdani kepada The New York Times.
"Dia seorang penjenayah perang yang dituduh oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
"Apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang di Bandar Raya New York, itu yang akan kami lakukan," katanya.
Sementara itu, AFP melaporkan Pejabat Netanyahu pada Ahad membidas Mamdani dan ICC.
"ICC ialah mahkamah tidak sah yang tidak mempunyai bidang kuasa ke atas rakyat Amerika atau Israel. Waran tangkap palsunya terhadap Perdana Menteri Netanyahu dikeluarkan oleh bekas Pendakwa Raya ICC yang terpalit kontroversi, Karim Khan," kata pejabat itu.

Pejabat itu menambah bahawa waran berkenaan dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum tuduhan salah laku seks timbul terhadap Khan, dan menyifatkannya sebagai "percubaan jelas Khan untuk mengalihkan perhatian awam serta berlindung daripada siasatan."
Mamdani sebelum ini pernah berikrar untuk mengarahkan NYPD menguatkuasakan waran tangkap terhadap pemimpin yang dikehendaki oleh ICC, termasuk Netanyahu atau Presiden Rusia Vladimir Putin.
Perhimpunan Agung PBB, iaitu perhimpunan utama pemimpin dunia, akan berlangsung pada September di ibu pejabat PBB di New York.
ICC yang berpangkalan di The Hague pada 2024 menyatakan bahawa terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu bertanggungjawab atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan serangan Israel di Gaza, menyusuli serangan merentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.
