Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa mempertahankan sempadan negara serta menangani ancaman siber dan ekstremisme kekal sebagai keutamaan, namun jaminan keselamatan paling berkekalan ialah perpaduan sosial.
Baginda bertitah bagi Malaysia dan dunia Islam secara keseluruhan, integriti nasional juga menuntut kewaspadaan terhadap eksploitasi sentimen agama demi kepentingan politik yang sempit.
“... manipulasi agama untuk membenarkan perpecahan, bukannya perpaduan serta pengecualian, bukannya keterangkuman yang ingin diketengahkan menerusi persidangan ini.
“Integriti nasional sebenar terletak pada setiap warganegara, tanpa mengira kaum atau agama, yang merasakan mereka mempunyai kepentingan sama dalam masa depan negara. Apabila rasa memiliki terhadap negara itu tiada, sebesar mana sekali pun jentera keselamatan tidak mampu menggantikannya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) kelapan bertemakan “Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan Dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) di Ipoh hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.
Sultan Nazrin bertitah keselamatan sesebuah negara tidak boleh dipisahkan daripada integriti negara itu sendiri kerana negara yang selamat daripada ancaman luar tetapi dibelenggu rasuah dan ketidakadilan dalaman sebenarnya belum mencapai keselamatan sebenar, sebaliknya hanya menangguhkan saat untuk berdepan akibat daripada kelemahan tersebut.
Baginda menegaskan bahawa integriti nasional bukan dipertahankan melalui keseragaman atau dengan menyekat pandangan yang berbeza, tetapi dengan memastikan setiap komuniti mempunyai kepentingan sebenar terhadap kejayaan negara.
“... dan dapat melihat kepentingan mereka diwakili secara adil dalam undang-undang, ekonomi, sistem pendidikan serta kepimpinan negara.
“Perpaduan yang terbina melalui paksaan mudah goyah, sementara perpaduan yang dibina atas rasa memiliki bersama adalah berdaya tahan, dan ketahanan inilah yang merupakan bentuk sebenar keselamatan negara,” titah baginda.
Dalam aspek pendidikan, Sultan Nazrin bertitah bahawa pelaburan terhadap pembangunan modal insan merupakan suatu keperluan bagi mendepani cabaran masa hadapan termasuk dalam automasi, perubahan iklim serta ekonomi berteraskan pengetahuan.
Titah baginda perkara itu bukan hanya berkaitan pembinaan lebih banyak sekolah dan universiti, sebaliknya merangkumi usaha memperbaharui kandungan serta kaedah pendidikan: memperkasa bidang sains dan matematik tanpa mengetepikan aspek kemanusiaan dan kesenian; menghayati literasi digital di samping mengekalkan amalan asas membaca, berfikir secara rasional dan membuat refleksi moral.
“... dan memastikan pendidikan teknikal serta vokasional diberikan martabat dan pelaburan yang setara dengan laluan akademik, agar seseorang anak muda yang memilih untuk menjadi pekerja mahir turut dihargai sama seperti mereka yang bercita-cita menjadi doktor atau jurutera,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika negara semakin melangkah ke era kecerdasan buatan, sistem pendidikan berdepan satu lagi cabaran mendesak dengan kaedah hafalan dan ujian piawai sebelum ini agak sesuai untuk ekonomi perindustrian kini kurang bertepatan dengan dunia yang membolehkan maklumat diperoleh secara segera dan hampir tanpa kos.
“Apa diperlukan golongan muda hari ini ialah kemampuan berfikir secara kritis, membuat pertimbangan beretika, bersikap kreatif dan menyesuaikan diri - iaitu keupayaan manusia yang tidak mampu ditiru oleh kecerdasan buatan, serta keupayaan sememangnya sentiasa ingin dipupuk oleh pendidikan Islam yang dirangka dengan sewajarnya, berteraskan ilmu wahyu dan penelitian rasional,” titah baginda.
- Bernama
