mk-logo
Berita
Johor batal lesen Network School, Onn tuntut Putrajaya perketat tapisan pelabur
Diterbitkan:  Jul 21, 2026 9:20 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Komuniti teknologi Network School di Forest City diarahkan menghentikan semua operasinya mulai esok selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan syarikat berkenaan.

MBIP berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Penuh Khas majlis berkenaan selepas pemeriksaan pada 12, 14, 19 dan 20 Julai mendapati berlaku pelanggaran dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut MBIP, sebuah premis Network School beroperasi tanpa lesen perniagaan, manakala sebuah lagi yang diluluskan untuk kegunaan pejabat didapati digunakan bagi aktiviti di luar tujuan yang dibenarkan.

Dalam kenyataan hari ini, MBIP turut berkata papan tanda yang dipamerkan di premis berkenaan tidak sepadan dengan permohonan iklan yang diluluskan.

“MBIP juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan pendakwaan sekiranya pihak syarikat masih berdegil menjalankan aktiviti yang bertentangan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan itu sambil menegaskan ia dibuat mengikut peruntukan undang-undang selepas meneliti dapatan pemeriksaan dan representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan.

Dia berkata tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas aduan dan ketidakpatuhan disahkan.

“Kerajaan Negeri turut menggesa semua agensi berkaitan memperketat proses ‘due diligence’, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi," katanya.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura. Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya pada kenyataan berasingan.

Onn turut menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital organisasi itu atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepadanya sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang ditetapkan.

Warga Israel di Malaysia?

Network School menjadi perhatian umum selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa warga Israel yang menggunakan pasport kedua menetap di komuniti teknologi berkenaan.

Tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan pada 14 Julai selepas Onn menggesa pihak berkuasa persekutuan menyiasat perkara itu.

Susulan perhatian meluas terhadap isu berkenaan, pengasas Network School yang juga pelabur teknologi Amerika Syarikat, Balaji Srinivasan, secara terbuka memohon pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan berkata komuniti teknologi global memerlukan jaminan sebelum meneruskan pelaburan di Malaysia.

Melalui hantaran di X pada 16 Julai, Srinivasan berkata Network School telah melabur lebih RM100 juta di Malaysia dan pelaburan lanjut oleh organisasi itu serta pelabur lain ditangguhkan sementara menunggu kepastian lebih jelas daripada kerajaan.

Dia turut menegaskan komuniti itu mematuhi undang-undang Malaysia dan menghormati kedaulatan negara.

Sehari kemudian, Srinivasan menafikan laporan bahawa organisasi itu akan ditutup sambil menjelaskan ia menerima dua notis daripada pihak berkuasa berhubung operasinya yang akan diperbetulkan dalam tempoh pemulihan ditetapkan.

Balaji menambah anggota komuniti berkenaan tidak terjejas dalam perkara lain.

Minggu lalu, Anwar memberi amaran kerajaan akan segera mengusir mana-mana warga Israel yang didapati berada di Malaysia susulan dakwaan Network School menempatkan warga negara itu.

Dia menegaskan semula pendirian tegas Malaysia dengan berkata kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya dakwaan itu terbukti benar, selain memaklumkan pihak berkuasa berkaitan sudah menyiasat perkara berkenaan.

Imigresen kesan 19 orang

Sementara itu, Jabatan Imigresen hari ini berkata ia sedang mengesan 19 daripada 430 pengunjung asing yang dikaitkan dengan operasi organisasi berkenaan di Forest City.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata semakan mendapati 210 individu masih berada di Malaysia, 201 sudah meninggalkan negara, manakala pergerakan 19 lagi tidak dapat disahkan.

“Kita ada 19 orang yang pergerakannya tidak dapat dikesan. Mungkin dia keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.

"Itu yang kita (sedang) kenal pasti dan kita akan buat siasatan lanjut.

“Kita akan kesan sama ada mereka ini masih berada dalam negara ataupun mereka sudah keluar," katanya.,” katanya seperti dipetik Bernama.

Zakaria menambah jabatan itu tidak menemui sebarang penyalahgunaan pasport dan sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan serta pihak berkuasa tempatan di Johor untuk menyiasat perkara berkenaan.


BACA BERKAITAN:

Isu Network School: TMJ arah siasatan terperinci, tindakan tegas diambil

‘Beri jaminan atau kami tarik modal’: Pengasas komuniti di Forest City mahu jumpa PM lepas disiasat

Isu Network School: Usir segera warga Israel jika masuk Malaysia - PM

Dakwaan warga Israel di Forest City: Imigresen siasat ‘Network School’


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS