Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin mencadangkan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Katanya, penggunaan nama itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kerjasama kedua-dua gabungan politik berkenaan.

“Kita mahu namakan ini supaya orang tidak keliru lagi. Kita di Negeri Sembilan bermula dengan Perikatan Barisan Nasional (PBN).
“Ramai orang susah menyebut PN-BN, jadi PBN sahaja. Saya kata, okaylah PBN.
“Yang penting bukan nama, tetapi jiwa untuk kita bersama menentukan masa depan Negeri Sembilan," katanya kepada wartawan semasa berkempen di Felda Bukit Rokan di Tampin, malam tadi.
Hamzah berkata, gabungan itu boleh menggunakan apa juga nama, namun kesepakatan antara parti-parti terlibat perlu menjadi keutamaan.
“Kita boleh namakan apa sekalipun. Gelombang yang kita nampak hari ini lebih jelas, iaitu gelombang biru menentang gelombang merah.
“Jika biru menjadi pilihan majoriti rakyat, insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Hamzah juga menegaskan bahawa PN sejak awal bersetuju supaya BN menerajui gabungan itu dan kerajaan negeri jika mereka memperoleh mandat rakyat. Katanya, persefahaman itu juga berupaya meredakan perbezaan yang pernah berlaku antara kedua-dua gabungan tersebut.
"Memang manusia ada perasaan kecewa terhadap perkara yang berlaku dahulu tetapi semua itu boleh diselesaikan apabila kita duduk berbincang.
"Itu sebabnya kita bertemu lebih awal supaya selepas ini semua boleh turun bekerja kuat dan memastikan pengundi faham apa yang mahu kita lakukan demi masa depan Negeri Sembilan," katanya.

Pada PRN 1 Ogos ini, BN akan bertanding di 25 daripada 36 kerusi manakala baki kerusi itu diisi oleh calon-calon PN, khususnya dari PAS dan Wasasan.
Bersatu yang adalah parti komponen PN pula tidak menyertai kerjasama itu tetapi sebaliknya mengumumkan akan meletakkan 24 calon, termasuk dua daripada Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Mengulas kemungkinan PBN didaftarkan secara rasmi, Hamzah berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.
"Ini baru saya keluarkan malam ini. Saya akan berjumpa rakan-rakan dahulu dan kita tengok macam mana," katanya lagi.
