Pelakon Amerika Syarikat (AS) Kaylee Hottle yang terkenal menerusi filem Godzilla Vs Kong meninggal dunia pada usia 18 tahun, lapor PA Media/dpa.
Hottle, yang turut membintangi susulan filem Godzilla X Kong: The New Empire, dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya di Frederick, Maryland.
Kematian gadis itu disahkan oleh bapanya, Joshua, dalam siaran langsung di Facebook pada Selasa dalam keadaan sebak.
Video disampaikan menggunakan Bahasa Isyarat Amerika (ASL) memandangkan semua anggota keluarga Hottle merupakan individu pekak.

Ibunya, Ketsi, turut memuat naik hantaran dalam ASL dengan menggunakan swafoto bersama anak perempuannya sebagai foto utama, sambil menulis: “Satu anugerah dapat menjadi ibu kamu, Kaylee Hottle.”
Hottle merupakan pelajar tahun akhir di Texas School for the Deaf (TSD) di Austin, yang turut menyampaikan penghormatan kepadanya selepas menerima berita menyedihkan itu.
Sekolah berkenaan berkongsi foto Hottle dan menulis: “Dengan penuh dukacita, kami menyampaikan berita menyayat hati bahawa seorang pelajar tahun akhir TSD, Kaylee Hottle meninggal dunia secara tragis semalam dalam kemalangan jalan raya di Frederick, Maryland.”
“Ingatan kami bersama keluarga, sahabat, rakan sekelas Kaylee serta semua yang mengenali dan menyayanginya dalam saat yang amat sukar ini.”
Sekolah itu turut meminta orang ramai mendoakan keluarga dan insan tersayang Hottle ketika mereka bersama-sama meratapi kehilangan besar berkenaan.
Hottle membuat penampilan sulung dalam filem Godzilla Vs Kong bersama pelakon terkenal termasuk Alexander Skarsgard dan Millie Bobby Brown.
Dia membawakan watak Jia, seorang kanak-kanak perempuan pekak dan yatim piatu yang menjalin hubungan rapat dengan gorila gergasi Kong menerusi komunikasi menggunakan ASL.
Hottle kembali membawakan watak itu dalam susulan filem pada 2024 dan menerima pencalonan Anugerah Saturn bagi kategori Persembahan Terbaik Pelakon Muda.
Ketika mempromosikan filem fiksyen sains berkenaan, Hottle sering menyuarakan kepentingan keterangkuman individu pekak dalam industri hiburan.
Dia turut muncul dalam beberapa iklan, termasuk kempen yang menggalakkan sokongan terhadap usaha komuniti pekak memperjuangkan hak sama rata.
Pelakon "Stranger Things" Millie Bobby Brown berkata dia amat sedih dengan kematian Hottle ketika menyampaikan penghormatan kepada rakan pelakonnya itu menerusi Instagram Stories.
Brown turut memuat naik foto hitam putih Hottle dengan menulis: “Saya benar-benar sedih mendengar berita ini. Kamu akan sangat dirindui, Kaylee.”
Marlee Matlin, pelakon pekak pertama memenangi Anugerah Akademi menerusi filem "Children of a Lesser God" turut berkongsi sekeping foto dia bersama Hottle dan pelakon Shoshannah Stern di platform X.
“Saya benar-benar berdukacita atas pemergian Kaylee Hottle yang disayangi. Semoga kecantikan dan bakatnya kekal dalam ingatan selama-lamanya,” tulis Matlin.
Pelakon dan penulis AS Shoshannah Stern turut menyampaikan ucapan takziah menerusi Instagram.
“Saya amat berdukacita. Salam takziah yang mendalam kepada keluarga Hottle,” katanya.
