Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP dikecam kenyataan 'seks rela, lepas tu tuduh laki rogol'
Diterbitkan:  Jul 22, 2026 6:19 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengecam Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, kerana didakwa mengulangi naratif yang menyalahkan mangsa dalam satu hantaran terbarunya di media sosial.

Dalam sebuah video mengenai persetujuan seksual dan rogol yang dimuat naik di laman Instagram rasminya minggu lalu, wakil rakyat DAP itu berkata tidak adil bagi wanita mendakwa mereka dirogol sekiranya pada awalnya bersetuju melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka.

WAO berkata gambaran terlalu ringkas seperti itu menunjukkan salah faham mengenai konsep persetujuan, kerana menggambarkan dakwaan rogol sekadar kes seseorang “berubah fikiran” boleh mengukuhkan mitos berbahaya mengenai keganasan seksual.

“Keganasan seksual tidak pernah menjadi tanggungjawab mangsa yang terselamat. Tanggungjawab terletak sepenuhnya pada individu yang melakukan perbuatan itu tanpa persetujuan bebas dan sukarela pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam video itu, Syerleena berkata meskipun rogol merupakan kesalahan serius, ia tidak seharusnya dijadikan senjata apabila hubungan kemudian menjadi retak atau perasaan tidak lagi berbalas.

"Kalau suka sama suka, janganlah kata rogol... "

“Tolonglah, faham tak apa maksud rogol? Rogol tu kalaulah perlakuan yang dibuat tanpa kerelaan wanita, serta ke atas kanak-kanak perempuan bawah umur.

“Jadi nasihat saya kepada wanita di luar sana, sebelum nak buat apa-apa, geng, fikir dahulu. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis lelaki.

Rogol dan fitnah rogol, jenayah serius

“Bila dah buat secara rela tetapi cinta tidak diterima, ataupun kecewa, maka itu bukan bermakna anda boleh fitnah si pelaku dengan dakwaan anda dirogol,” katanya.

Syerleena turut memberi amaran kepada lelaki supaya tidak menjalinkan hubungan seksual dengan wanita sekiranya tidak berniat mengahwini mereka, sambil mengingatkan bahawa “kamu tidak akan selamat.”

Katanya rogol merupakan kesalahan serius dan mesti dihukum dengan hukuman berat namun membuat dakwaan palsu kononnya dirogol juga kesalahan serius dan mesti dihukum.

Hantaran itu mendapat perhatian besar di media sosial dan mengundang gelombang komen bersifat misoginis serta seksis di ruangan komen.

Video itu kemudian dipadamkan daripada Instagram namun setakat berita ini ditulis, ia dilihat masih boleh ditonton di akaun TikTok Syerleena.

Dalam kenyataannya, WAO berkata naratif sedemikian sejak sekian lama digunakan untuk menimbulkan keraguan terhadap mangsa dan mengalih perhatian daripada persoalan sama ada persetujuan benar-benar diberikan.

WAO menegaskan persetujuan boleh ditarik balik pada bila-bila masa ketika hubungan seksual berlangsung manakala persetujuan awal terhadap perlakuan seksual tidak bermakna persetujuan itu berterusan atau merangkumi semua perbuatan.

Katanya, naratif menyalahkan mangsa menghalang mereka daripada melaporkan keganasan seksual atau mendapatkan sokongan, sekali gus membolehkan pelaku mengelak daripada dipertanggungjawabkan.

“Naratif menyalahkan mangsa mengalihkan perhatian daripada perbuatan pelaku dan sebaliknya meletakkan mangsa yang terselamat di kandang tertuduh. Daripada bertanya sama ada persetujuan wujud, masyarakat mula mempersoalkan motif, tingkah laku, pakaian, hubungan atau kredibiliti mangsa yang terselamat.

“Naratif ini menyukarkan mangsa mendapatkan rawatan perubatan, melaporkan keganasan seksual atau mengakses sokongan,” tambahnya.

Kumpulan itu turut mengingatkan bahawa ahli parlimen memegang jawatan berasaskan kepercayaan awam dan kenyataan mereka mempengaruhi pemahaman serta sikap masyarakat terhadap sesuatu isu.

WAO turut menggesa Syerleena menjelaskan kenyataannya secara terbuka dan menegaskan bahawa persetujuan mesti diberikan secara sukarela serta boleh ditarik balik pada bila-bila masa; persetujuan tidak bermakna kebenaran bagi perbuatan pada masa depan; dan tanggungjawab terhadap rogol terletak sepenuhnya pada pelaku.

Persetujuan dan kebertanggungjawaban

Isu membabitkan kenyataan Syerleena merupakan yang terbaru dalam siri perdebatan awam di Malaysia mengenai persetujuan dan kebertanggungjawaban dalam kesalahan seksual, selepas kenyataan beberapa tokoh awam sebelum ini turut dipersoalkan kerana dikhuatiri mengalihkan tanggungjawab daripada pelaku.

Pada September tahun lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil mencadangkan remaja perempuan bawah umur yang terlibat dalam hubungan seks secara suka sama suka perlu memikul tanggungjawab sama rata, dan bukannya dikecualikan daripada tindakan undang-undang.

Fauwaz berkata peruntukan sedemikian dilihat berat sebelah dan menunjukkan masalah asas kerana hubungan seks luar nikah jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Bahkan, pelepasan kelompok tertentu daripada sebarang hukuman boleh menggalakkan perlakuan jenayah yang sama pada masa akan datang.

“Ia juga menafikan realiti bahawa dalam banyak kes, kedua-dua pihak terlibat secara sedar dan rela, walaupun salah seorang daripadanya adalah bawah umur.

"Lantaran itu, hukuman terhadap kedua-dua pihak akan menegaskan bahawa jenayah bukanlah isu melibatkan jantina tertentu, tetapi ia adalah isu moral dan perundangan yang melibatkan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan serta undang-undang,” katanya lagi.

Kenyataannya dilihat seperti mempertahankan cadangan Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat supaya remaja perempuan yang terbabit dalam kes rogol statutori turut didakwa bersama pelaku lelaki dewasa.

Yusoff menerima kecaman hebat susulan kenyataan itu, dengan penasihat DAP Lim Guan Eng menggesanya menarik balik cadangan yang disifatkan “keterlaluan” manakala pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, menyifatkan cadangan polis itu sebagai “langsung tidak masuk akal”.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS