Presiden MIC, SA Vigneswaran, membidas desakan sesetengah pihak yang mahukan Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan berikutan kontroversi berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery.
Katanya, tindakan mendesak Anwar berundur adalah satu langkah yang salah dan MIC sama sekali tidak mengalu-alukan mahupun menyokong kenyataan sedemikian.
"Prinsip asas undang-undang iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu diguna pakai secara adil dan saksama dalam situasi ini.
"Kami tak mengalu-alukan, malah kecam kenyataan sebegini," katanya kepada pemberita di Seremban, semalam.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan bahawa Anwar tidak terlepas daripada tanggungjawab politik ke atas isu itu, selain menggesa agar pengerusi KWAP, Johan Mahmood Merican, digantung tugas sehingga siasatan selesai.
Dia berkata isu itu bukan hanya soal pelaburan tetapi turut membabitkan soal kepercayaan awam dan akauntabiliti, sambil menegaskan setiap ringgit dana persaraan diamanahkan kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Vigneswaran mengambil iktibar daripada situasi terdahulu apabila Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, ketika menubuhkan kerajaan perpaduan meskipun Presiden Umno itu ketika berkenaan berdepan dengan 47 pertuduhan di mahkamah.
"Ketika itu, Anwar menggunakan prinsip yang sama semasa membuat keputusan pelantikan tersebut, di mana seseorang tidak boleh dihukum sebelum kesalahan mereka dibuktikan di mahkamah.
"Bila Zahid menghadapi 47 tuduhan di mahkamah, Anwar melantik dia sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mengambil iktibar yang sama, ada pihak yang minta dia (Anwar) letak jawatan adalah tidak betul," tambah Vigneswaran.
Pada 16 Julai lalu, , Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa KWAP kerugian kira-kira RM200 juta selepas diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan oleh sebuah syarikat pemula akuakultur di Indonesia, eFishery.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Anwar berkata pelaburan itu telah melalui proses tadbir urus KWAP, termasuk penilaian dalaman, usaha wajar (due diligence) bebas serta semakan terhadap kedudukan kewangan, perundangan dan operasi syarikat sebelum diluluskan.
KWAP bersama pelabur lain sejak itu telah memulakan tindakan undang-undang dan sedang berusaha mendapatkan semula dana terbabit, di samping memperkukuh tadbir urus dalaman.
Sebelum ini, Anwar berkata pergantungan kepada firma audit tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas dalam membuat keputusan pelaburan dalam eFishery.
Dia berkata dua firma audit antarabangsa telah meluluskan pelaburan itu, manakala sebuah lagi tidak sempat melengkapkan proses pengesahannya.
Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Bandung atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim turut menggesa Anwar meletakkan jawatan berhubung isu tersebut.
