Bangkai pesawat Pan American Airways yang terhempas di perairan Puerto Rico 74 tahun lalu akhirnya ditemui di dasar laut oleh pasukan pencari penerbangan.
Discovery berkata pada Selasa bahawa Yayasan Warisan Udara/Laut bersama beberapa pihak lain, termasuk siri "Expedition Unknown" terbitan Discovery Channel, menemui bangkai pesawat Pan Am "Clipper Endeavor" di dasar Lautan Atlantik, berhampiran pantai utara Puerto Rico, bulan lalu.

Pesawat jenis Douglas DC-4 itu terbelah dua selepas terhempas ke dalam lautan tidak lama selepas berlepas dari Puerto Rico pada 11 April 1952, dengan membawa 64 penumpang dan lima anak kapal.
Meskipun semua penumpang dan anak kapal selamat dalam impak awal kemalangan itu, hanya 12 penumpang dan lima anak kapal berjaya diselamatkan, manakala selebihnya hilang bersama pesawat berkenaan.
Tragedi itu membawa kepada pembaharuan menyeluruh dalam industri penerbangan, termasuk pengenalan taklimat keselamatan sebelum penerbangan dan demonstrasi prosedur kecemasan.
"Kami semua terpegun dan gembira dengan penemuan ini, namun pada masa sama rasa insaf apabila mengenangkan apa yang berlaku di lokasi berkenaan suatu ketika dahulu," kata Russ Matthews, presiden Yayasan Warisan Udara/Laut.

Pencarian yang turut melibatkan syarikat Deep Sea Vision itu menggunakan sonar berresolusi tinggi, di mana bangkai pesawat ditemui pada kedalaman hampir 2,000 kaki di dasar Lautan Atlantik.
Misi pencarian itu turut menggunakan dron bawah air autonomi, sekali gus merungkai misteri lokasi sebenar pesawat itu bersemadi.
