Kerajaan Johor dipersoalkan susulan pelantikan 10 timbalan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco), dengan pengkritik mempersoalkan asas perundangan bagi jawatan baru itu serta menuntut ketelusan mengenai peranan, kuasa dan kosnya kepada pembayar cukai.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berhujah Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor mahupun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan pelantikan jawatan timbalan exco.
Sementara itu, Adun Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa kerajaan negeri menjelaskan secara terbuka rasional pelantikan itu, skop perundangannya, implikasi kewangan serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan digunakan untuk menilai mereka.
Hassan merujuk Fasal 2(b), Bahagian I, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa atas nasihat menteri besar, Raja hendaklah melantik tidak lebih daripada 10 dan tidak kurang daripada empat anggota Dewan Undangan Negeri sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Di bawah Seksyen 2(b), ada disebut di sini. Atas nasihat menteri besar, raja hendaklah melantik tidak lebih daripada 10 orang, tetapi tidak kurang daripada empat orang lain.
“Maknanya dalam Perlembagaan Persekutuan ini berkenaan dengan penubuhan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, termasuk Johor ini, jumlah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan tidak boleh lebih daripada 10. Maksimum 10 dan paling kurang empat orang. Tak boleh kurang daripada empat.
“Ini telah dilantiklah, 10 exco oleh pemangku sultan, atas nasihat menteri besar. Itu berjalan baik.
“Tetapi sekarang, ada 10 lagi daripada ahli Dewan Undangan Negeri Johor ini dilantik sebagai timbalan exco.

"Saya puas rujuk di dalam Perlembagaan Persekutuan ini, tak ada disebut di sini tentang peruntukan jawatan timbalan exco,” katanya.
Hassan turut menggesa Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan penasihat undang-undang negeri meneliti perkara itu.
Semalam, Onn mengumumkan pelantikan 10 timbalan exco yang menurutnya mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu dikatakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan pentadbiran kerajaan negeri dan penyampaian dasar, selaras dengan kerangka Maju Johor 2030.

Sebahagian besar individu yang dilantik terdiri daripada Adun Umno, iaitu tujuh orang, diikuti dua daripada MCA dan seorang daripada MIC.
Dalam kenyataan bersama hari ini, lapan Adun PH yang membentuk blok pembangkang di DUN Johor berkata rakyat negeri itu berhak menerima penjelasan jelas mengenai rasional pelantikan tersebut.
Mereka berkata kerajaan negeri selama ini berfungsi dengan struktur pentadbiran yang jelas, dibantu penjawat awam profesional, agensi pelaksana serta pegawai khas di bawah portfolio masing-masing.
“Sekiranya benar wujud kekangan kapasiti sehingga memerlukan satu lapisan baharu dalam struktur pentadbiran, apakah bukti empirikal yang menyokong dakwaan tersebut?

“Kedua, rakyat juga berhak mengetahui apakah fungsi yang membezakan timbalan exco daripada exco sedia ada, dan bagaimana pembahagian tanggungjawab itu akan meningkatkan kecekapan pentadbiran, bukannya mewujudkan pertindihan fungsi, kekeliruan kuasa ataupun birokrasi yang lebih panjang,” kata mereka.
Mereka turut memberi amaran bahawa implikasi kewangan daripada keputusan itu tidak boleh diketepikan ketika rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup dan negeri berdepan pelbagai cabaran pembangunan.
“Berapakah kos keseluruhan pelantikan ini, termasuk elaun, kemudahan pentadbiran, kakitangan sokongan dan perbelanjaan operasi?
“Lebih penting, apakah pulangan dasar (policy value) yang dijangka diperoleh oleh rakyat daripada perbelanjaan tersebut?” soal mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan barisan Adun PH iaitu Andrew Chen (Stulang), Maszlee Malik (Puteri Wangsa), Felicia Poh (Penggaram), Ng Yak Howe (Bentayan), Wong Bor Yang (Senai), Chu Poh Yee (Mengkibol), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai) dan Nazri Abdul Rahman (Simpang Jeram).
Tambah jawatan bukan ukuran tadbir urus bagus
Mereka menegaskan bahawa dalam demokrasi berparlimen yang matang, penambahan jumlah pemegang jawatan politik bukan dengan sendirinya menjadi bukti pentadbiran lebih kukuh.
“Dalam demokrasi berparlimen yang matang, penambahan jawatan politik bukanlah ukuran kepada keberkesanan pentadbiran.

“Yang lebih penting ialah kejelasan struktur, kecekapan membuat keputusan, kebertanggungjawaban institusi dan hasil yang dapat dirasai oleh rakyat,” kata mereka.
Menurut mereka, sekiranya pelantikan itu bertujuan melatih kepimpinan baru atau mengagihkan beban portfolio, alasan tersebut perlu dijelaskan secara terbuka berserta petunjuk prestasi yang boleh diukur.
“Reformasi pentadbiran tidak boleh dilaksanakan hanya melalui penambahan jawatan, tetapi mesti disertai justifikasi yang kukuh dan mekanisme akauntabiliti yang jelas.
“Kami percaya kerajaan yang yakin terhadap keputusan yang dibuat tidak akan keberatan untuk menjelaskan asas pertimbangan mereka kepada rakyat.

“Ketelusan bukanlah kelemahan; sebaliknya ia merupakan asas kepada kepercayaan awam,” kata mereka.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menggesa kerajaan Johor membentangkan secara terbuka rasional dasar di sebalik pewujudan jawatan timbalan exco, skop tugas dan bidang kuasa setiap jawatan serta implikasi kewangan keseluruhan kepada kerajaan negeri.
Mereka turut menuntut kerajaan mendedahkan KPI yang akan digunakan bagi menilai keberkesanan pelantikan tersebut.
Secara berasingan, bekas calon Bersama bagi kerusi Johor Jaya, Lau Yi Leong turut mempersoalkan langkah kerajaan Johor itu menerusi hantaran di X, senada dengan pandangan Hassan.

Lau berkata berdasarkan Perkara 4, Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, kuasa eksekutif terletak pada exco yang diketuai menteri besar.
Bagaimanapun, katanya perlembagaan negeri tidak menyebut atau memperuntukkan kewujudan jawatan timbalan exco.
“Keadaan ini sangat berbeza dengan Kerajaan Persekutuan. Di peringkat pusat, pelantikan Timbalan Menteri memang diiktiraf dan sah secara khusus di bawah Perkara 43B Perlembagaan Persekutuan. Di Johor? Tiada peruntukan undang-undang seumpamanya.
“Jadi kenapa ini bahaya? Kalau lantikan ini sekadar ‘pembantu pentadbiran’, itu mungkin boleh diterima lagi. Tapi bayangkan kalau timbalan exco ini buat keputusan, tandatangan dokumen rasmi atau keluar arahan dasar.

“Tindakan ini boleh dicabar di mahkamah sebagai ultra vires (melangkaui batas kuasa) dan terbatal,” katanya.
Lau turut mengingatkan bahawa pelantikan berkenaan melibatkan wang pembayar cukai.
“Paling penting adalah duit cukai rakyat. Adakah jawatan baru ini datang dengan pakej gaji, elaun khas, kereta rasmi, atau staf sendiri?
“Jika ada implikasi kewangan, adakah ia telah dibentang dan diluluskan secara sah di dalam DUN? Rakyat Johor berhak tahu.
“Tadbir urus yang baik (good governance) bukan sekadar agih jawatan untuk puaskan hati semua pihak. Ia mesti berlandaskan undang-undang,” katanya sambil menggesa Onn memberikan pendedahan penuh mengenai langkah itu.
