Malaysia antara 60 negara yang dikenakan tarif import baru oleh Amerika Syarikat pada kadar antara 10 hingga 12.5 peratus, yang dijadualkan berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat berkata levi baru itu dikenakan terhadap 60 rakan dagang “kerana kegagalan mereka mengenakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan terhadap pengimportan barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa”.
“Hari ini, Duta Jamieson Greer mengambil tindakan muktamad atas arahan Presiden Trump mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 dengan mengenakan tarif terhadap 60 ekonomi,” kata agensi itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sesawangnya.

Selain Malaysia, negara yang dikenakan tarif 10 peratus termasuk:
Argentina, Bangladesh, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Mexico, Pakistan, Sri Lanka, Trinidad dan Tobago serta United Kingdom.
“Kadar 10 peratus merupakan kadar duti Seksyen 301 yang sesuai bagi ekonomi yang disiasat dan (i) mengenakan larangan import terhadap barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa; (ii) memberikan komitmen untuk mengenakan serta menguatkuasakan larangan sedemikian menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik; atau (iii) melaksanakan rejim separa yang berkesan menghalang pengimportan barangan tertentu yang dihasilkan melalui buruh paksa,” kata kenyataan itu mengenai negara-negara berkenaan.
Bagaimanapun, analisis Reuters membuat spekulasi bahawa pusingan tarif baru itu sebahagian daripada strategi pentadbiran Trump untuk mengatasi keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membatalkan tarif terdahulu diumumkannya tahun lalu.

Sebagai tindak balas terhadap keputusan itu pada Februari, Trump mengenakan tarif global 10 peratus selama 150 hari, yang tamat hari ini. Tarif baru itu berkuat kuasa sebaik sahaja tempoh 150 hari berakhir.
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebelum ini memberi amaran bahawa Malaysia berisiko terdedah kepada tarif baru tersebut sekiranya pentadbiran Madani tidak mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan buruh paksa di negara ini.
Pengecualian bagi produk tertentu
Meskipun kadar tetap 10 peratus dikenakan, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) turut berkata pengecualian akan diberikan kepada produk tertentu dari Malaysia serta Argentina, Bangladesh, Kemboja, Ecuador, El Salvador, Kesatuan Eropah, Guatemala, Indonesia, Jordan, Switzerland, Taiwan dan United Kingdom.
Pengecualian itu diberikan bagi “menggalakkan ekonomi-ekonomi ini memenuhi komitmen berhubung larangan import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa atau menggubal serta menguatkuasakan larangan import buruh paksa secara berkesan”.
USTR berkata produk tertentu dari negara anggota Kesatuan Eropah, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland akan dikenakan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus.
Kenyataan itu berkata negara lain yang disiasat USTR tetapi tidak disenaraikan di atas akan dikenakan levi 12.5 peratus terhadap barangan mereka yang diimport oleh Amerika Syarikat.

USTR berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menyelesaikan siasatan terhadap amalan buruh di negara-negara berkenaan, yang merangkumi “dua pusingan pendengaran awam, lebih 2,100 ulasan awam dan libat urus dengan rakan dagang kami bagi menangani kebimbangan berpanjangan ini”.
“Presiden Trump menyedari bahawa pujukan moral selama berdekad-dekad masih gagal menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan global,” kata Greer dalam kenyataan itu.
“Amerika Syarikat telah melaksanakan larangan import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa selama hampir satu abad dan menguatkuasakannya dengan tegas; sudah terlalu lama rakan dagang kami sepatutnya melakukan perkara yang sama,” katanya.
