Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor yang menyamakan pemimpin Melayu dalam kerajaan seperti watak pengkhianat "Buang" dalam filem klasik Sarjan Hassan.
Mengulas kenyataan Sanusi yang mendakwa penguasaan ekonomi dan kuasa politik orang Melayu semakin terhakis, Sathia mendesak kepimpinan PAS membuat penjelasan berhubung perkara itu.
"Jika kenyataan PAS itu betul, mereka secara tidak langsung menuduh Umno sebagai pengkhianat bangsa Melayu.
"Ini kerana Umno yang mentadbir negara ini selama lebih 70 tahun, dan hanya berada dalam pembangkang selama 22 bulan sahaja.
"Jika PAS percaya ucapan Sanusi betul bahawa ekonomi Melayu merudum dan tanahnya dirampas dalam 50 tahun, maka Umno perlu dipersalahkan," katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, dakwaan bahawa pentadbiran semasa merampas ekonomi Melayu adalah tidak masuk akal memandangkan PH di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru mentadbir negara.
"PH di bawah Anwar Ibrahim baru beberapa tahun mentadbir negara ini.
"Jadi bagaimana mungkin Anwar atau DAP sempat merampas atau mencuri ekonomi Melayu seperti yang didakwa?" soalnya lagi.

Semalam, Sathia bersama dua rakannya telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi membuat tiga laporan polis berasingan terhadap Sanusi.
Sathia menegaskan bahawa tindakan pemimpin PAS yang kerap memainkan naratif agama, raja, dan kaum (3R) demi meraih undi politik tidak boleh lagi dibiarkan.
"PAS sering menggunakan isu 3R untuk meraih undi, dan kali ini kita tidak boleh biarkan lagi.
"Saya menggesa orang ramai di seluruh negara untuk tampil membuat laporan polis terhadap kenyataan mengapikan ini," katanya.
Sanusi sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mendakwa kaum China dan India mempunyai tanah lain, sementara orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sahaja.
"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya.
Sanusi turut meluahkan kebimbangan terhadap sektor ekonomi yang menurutnya masih menyaksikan pegangan orang Melayu terhenti pada kadar 18 peratus sahaja selepas 50 tahun.
"Selepas 50 tahun tuan-tuan, kita masih berada pada tahap yang sama. Tapi kita tengok sektor politik, sektor ekonomi ini kita jumlah 18 peratus daripadanya. Sektor politik pula semakin hari semakin terhakis.
"Orang muda-muda yang ada main game, yang tak peduli pasal parti, tak peduli pasal politik, apa tunggu 10 tahun lagi, negeri ini akan hilang kalau sebarang perubahan tak dibuat sekarang.
"Sekarang! Bukan esok. Now! Now! (Sekarang! Sekarang!). Orang ini sebenarnya kena jawab tahu. Now! (Sekarang!) Tak boleh tunggulah," katanya
