mk-logo
Berita
Zahid cakap kasi 'bungkus' itu orang, Loke balas jangan angkuh

PRN N SEMBILAN | Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pagi ini menasihati rakan kabinetnya yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak bercakap dengan angkuh ketika berkempen dalam pilihan raya negeri.

Ini selepas Zahid menyeru pengundi Chennah supaya menyingkirkan Loke, yang mempertahankan kerusi itu daripada calon BN John Siow Kong Choon, kerana didakwa gagal membawa pembangunan ke kawasan berkenaan meskipun sudah menjadi wakil rakyatnya selama tiga penggal berturut-turut.

Bercakap kepada pemberita di Titi pagi ini, menteri pengangkutan itu berkata pengundi lebih mengetahui khidmatnya di kawasan berkenaan dan terpulang kepada mereka untuk memutuskan sama ada mahu ‘membungkusnya’ atau sebaliknya.

“Pertamanya, kita sebagai rakan dalam kabinet, tak payahlah bercakap secara angkuh.

“Kita berkempen secara positif. Sama ada ‘dibungkus’ atau tidak, itu terpulanglah kepada rakyat.

“Pengundi akan membuat keputusan,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan mesra di Pasar Awam Titi.

Menurut Loke, Chennah merupakan kawasan luar bandar yang memerlukan banyak kemudahan infrastruktur dan pelbagai kerja naik taraf telah dilaksanakan sejak dia mengambil alih kerusi DUN itu.

Dia turut mengingatkan Zahid bahawa Chennah terletak dalam kawasan Parlimen Jelebu, yang disandang Pengerusi BN Negeri Sembilan Jalaluddin Alias.

“Jangan lupa DUN Chennah ini juga sebahagian daripada parlimen Jelebu, jadi ada tanggungjawab bersama,” kata Loke.

Semalam, Zahid ketika berkempen di Simpang Durian menyeru pengundi supaya memberi kemenangan kepada BN di DUN Chennah, dengan berkata “kasi bungkus itu orang (Loke).”

Zahid menyeru pengundi supaya menumbangkan DAP di Chennah jika ingin BN menguasai Negeri Sembilan.

"Bacaan saya, saya harap saya tidak salah. Bacaan saya, kalau kita rampas Chennah, bererti kita merampas Negeri Sembilan di bawah BN.

"Begitu juga kalau kita rampas dan kekalkan Linggi di bawah BN.

“Confirm Negeri Sembilan di bawah BN," kata Zahid merujuk kerusi yang ditandingi pengerusi PH negeri dan menteri besar sementara Aminuddin Harun.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS